Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) terus komited memperkasa warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan meneruskan siri Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT 2025 dan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) Fasa Kedua di Kuching, Sarawak, minggu lalu.
Program dua hari itu diadakan pada 16 Oktober di Kem Penrissen dan 17 Oktober di Pangkalan Udara TUDM Kuching, melibatkan lebih 400 peserta terdiri daripada anggota ATM serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dari pelbagai formasi dan pasukan 1 Divisyen serta Pangkalan Udara Kuching.
Difahamkan, kehadiran ramai peserta ini menjadikan program tersebut antara yang paling meriah setakat ini di bawah siri Jelajah Yayasan LTAT 2025.
Turut hadir di Kem Penrissen ialah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz, bersama Pengerusi BAKAT 1 Divisyen, Datin Roslina Abu Bakar, selain wakil BAKAT serta pegawai kanan ATM.
Sementara itu, di Pangkalan Udara Kuching, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin, turut hadir bersama Pemangku Komander Pangkalan Udara Kuching, Leftenan Kolonel Ali Mohamad, serta wakil Jemaah BAKAT Udara, Nazrah Idris, dan Pengerusi BAKAT Pangkalan Udara Kuching, Noridah Ahmad @ Othman.
Pelbagai Aktiviti Menarik
Antara tarikan utama program ialah pameran reruai oleh Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading dan Kolej Komuniti Santubong, yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran menarik antaranya pembuatan kek lapis Sarawak, aneka bun, cetakan T-shirt, dandanan rambut, pendawaian elektrik serta penghasilan kek coklat.
13 Inisiatif & 3 Tunjang Utama
Program ini juga memperkenalkan Taklimat Inisiatif Yayasan LTAT 2025, yang memperincikan 13 inisiatif utama berasaskan tiga tunjang: pendidikan, kemahiran dan kebajikan.
>Selain itu, Taklimat Program K²T turut diadakan bagi memperkasa ahli BAKAT dan anak-anak ATM dalam bidang kemahiran serta sosioekonomi keluarga tentera.
Kerjasama Strategik & Sokongan Penuh
Program K²T dilaksanakan dengan mandat daripada Kementerian Pertahanan, melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
>Ia merupakan antara lima inisiatif utama Yayasan LTAT yang dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 15 Julai lalu.
Melalui kerjasama ini, Kolej Komuniti menawarkan 22 bidang kemahiran yang merangkumi kulineri, jahitan, keusahawanan, dandanan rambut, teknologi digital dan pelbagai bidang lain yang sesuai dengan keperluan semasa.
Sumber: Berita Harian
