Tokyo Anime Award Festival (TAAF) kembali dengan edisi baharunya untuk tahun 2026. Penganjur kini mendedahkan visual utama rasmi bagi acara berprestij tersebut.
Visual berkenaan dihasilkan oleh pasukan pereka watak yang terdiri daripada Toko Yatabe dan pengarah seni Mai Ichio. Dua nama yang sebelum ini pernah meraih anugerah individu melalui sumbangan mereka terhadap filem The Birth of Kitaro: The Mystery of GeGeGe.
Akan Berlangsung Mac 2026 di Ikebukuro
TAAF 2026 dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 16 Mac 2026 (Jumaat hingga Isnin) di kawasan Ikebukuro, Tokyo. Seperti tahun-tahun sebelumnya, festival ini berfungsi sebagai pentas utama bagi meraikan karya-karya anime terbaik dari seluruh dunia, di samping menjadi titik pertemuan bagi penggiat industri dan peminat animasi Jepun.
Acara tahunan ini turut berperanan memperkukuh kedudukan Tokyo sebagai hab utama industri animasi global, sejajar dengan slogan rasmi mereka: “TOKYO is the HUB of contemporary ANIMATION.”
Undian “Anime Fan Award” Kini Dibuka
Bermula 1 November, undian untuk kategori Anime of the Year, Anime Fan Award telah dibuka kepada umum.
Melalui undian ini, peminat anime dapat memilih karya kegemaran mereka daripada senarai 100 judul anime teratas yang disiarkan, ditayangkan atau distrim antara 1 Oktober 2024 hingga 30 September 2025.
Setiap individu hanya dibenarkan mengundi sekali sehingga 30 November, dengan pilihan maksimum tiga siri TV dan tiga filem. Pengundi perlu mendaftar menggunakan alamat e-mel yang sah bagi melengkapkan proses pengesahan undian.
Daripada 100 karya tersebut, pemilihan akhir bagi kategori “Best Work” (filem dan siri TV) serta “Individual Award” akan ditentukan oleh penggiat industri animasi seperti penerbit, pereka, media dan wakil perniagaan berkaitan anime.
Sementara itu, Anime Fan Award akan dipilih sepenuhnya berdasarkan undian peminat.
13 Tahun Mengangkat Budaya dan Bakat Animasi
Sejak diperkenalkan sebagai festival bebas pada 2014 selepas berpisah daripada Tokyo International Anime Fair yang dianjurkan dari 2002 hingga 2013, TAAF telah menjadi antara acara paling berpengaruh dalam dunia animasi Jepun.
Diterajui oleh Jawatankuasa Eksekutif Tokyo Anime Award Festival bersama Persatuan Animasi Jepun serta Kerajaan Metropolitan Tokyo, festival ini terus komited dalam misi untuk melahirkan bakat baharu, memperkukuh budaya animasi, dan mempromosikan pelancongan bandar Tokyo melalui seni animasi.
Edisi ke-13 TAAF dijangka menarik perhatian ramai apabila ia membuka tirainya Mac tahun depan, menandakan satu lagi perayaan besar buat dunia animasi Jepun.
