Tak Sedar Langgar Budak Sekolah Melintas Jalan, Pemandu Van Ditahan Polis

![|650x488](upload://anh0qEXl1656XbbD3yzp4PQ4bE6.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Semalam, viral satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dilanggar sebuah van sekolah di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi.

Artikel Berkaitan: Rakaman Video Kanak-Kanak Perempuan Dilanggar Sebelum Digilis Van Tular

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Pemandu van ditahan polis

![|650x365](upload://mp95p4e1QlArjtr1Lh8ryFklPRa.png)

Terbaru, Kosmo melaporkan bahawa pemandu van terbabit yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lebih lanjut, Azman Shariat berkata, insiden ngeri itu berlaku sekitar jam 12.10 tengah hari selepas pemandu selesai menurunkan penumpang. Sebelum kejadian, pemandu van tersebut dikatakan mengambil mangsa dari sebuah sekolah berhampiran untuk di hantar ke pusat transit sebelum ke sekolah KAFA.

Pemandu van berkenaan telah memandu ke hadapan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga penumpang van tersebut ketika mangsa sedang melintas di hadapan van terbabit.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 26 saat yang viral di media sosial telah mendapat pelbagai respon daripada orang ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa terkilan dengan sikap pemandu van terbabit yang didakwa mengabaikan keselamatan penumpang.

Sumber: Kosmo


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/tak-sedar-langgar-budak-sekolah-melintas-jalan-pemandu-van-ditahan-polis