Pelajar Tingkatan 4 Meninggal Dunia Ketika Latihan Merentas Desa

Sekadar gambar hiasan

Seorang pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan meninggal dunia ketika menjalani latihan merentas desa pagi tadi di persimpangan Kampung Asing.

Pelajar meninggal dunia

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Berita Harian, sebelum kejadian, pelajar terbabit yang dikenali dengan nama Aman Basri Muhd Rohaizi berusia 16 tahun sedang menjalani latihan penyesuaian ‘track’ merentas desa pada jam 8.34 pagi sebelum disedari pengsan oleh guru bertugas. Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, mangsa segera dibawa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor bertugas mengesahkan pelajar berkenaan telah meninggal dunia pada jam 9.05 pagi.

Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

Hasil daripada pemeriksaan fizikal mendapati terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

Bapa mangsa membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang.

Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Berita Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/pelajar-tingkatan-4-meninggal-dunia-ketika-latihan-merentas-desa