Pelajar Dilanggar Van Depan Tadika Meninggal Dunia

![|650x356](upload://zXuXbi8luWH3dH1Mt3Tjzv8iD0B.png)

Sejak semalam, tular sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan yang dilanggar sebelum digilis oleh sebuah van berwarna putih. Terbaru, lapor Sinar Harian, mangsa yang berusia tujuh tahun, dilaporkan meninggal dunia susulan insiden tersebut yang berlaku di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi.

Artikel Berkaitan: Rakaman Video Kanak-Kanak Perempuan Dilanggar Sebelum Digilis Van Tular

Terlanggar mangsa

![|650x433](upload://ftkVYRFA0cotHrSk7TP3rmcBgUu.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad kejadian tersebut berlaku jam 12.10 tengah hari, di mana mangsa baru sahaja pulang dari sebuah sekolah kebangsaan dan telah dihantar ke tadika tersebut sebelum pergi ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Selepas menurunkan kesemua pelajar, van yang dipandu wanita berusia 31 tahun itu bergerak ke hadapan sebelum terlanggar mangsa yang ketika itu sedang melintas.

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.30 petang semasa menerima rawatan.

Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu van berkenaan sedang dirakam percakapan dan siasatan sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at
https://ohbulan.com/pelajar-dilanggar-van-depan-tadika-meninggal-dunia