Acara, PEEK DAILY

Scoot Buka Laluan Baharu Ke Kota Bharu: Peluang ‘Short Trip’ Ke Singapura Jadi Semakin Dekat!

Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah milik Singapore Airlines (SIA), kini rasmi membuka laluan baharu ke Kota Bharu, Kelantan pada 26 Oktober 2025.

Langkah ini menjadikan Kota Bharu destinasi ke-12 Scoot di Malaysia, sekaligus membuka peluang lebih luas untuk rakyat Pantai Timur melancong ke luar negara dengan bajet rendah.

Laluan Baharu, Pesawat Serba Moden

Scoot akan mengendalikan penerbangan dua kali seminggu antara Kota Bharu dan Singapura menggunakan pesawat Embraer E190-E2 pesawat generasi baharu yang lebih senyap, luas dan selesa.

Pesawat ini mempunyai 112 tempat duduk dalam susunan 2-2, sesuai untuk perjalanan jarak sederhana tanpa rasa sempit.

Bagi penumpang yang sukakan keselesaan walaupun dengan bajet rendah, pesawat ini memang pilihan terbaik!

Sambutan Meriah Di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

Ketibaan penerbangan sulung Scoot ke Kota Bharu disambut dengan penuh meriah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Majlis sambutan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia dan pihak berkuasa lapangan terbang tempatan ini turut menampilkan pancuran air simbolik (water salute), persembahan budaya, serta cenderamata khas untuk semua penumpang yang tiba.

Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, berkata bahawa laluan baharu ini bukan sahaja mengukuhkan kehadiran Scoot di Malaysia, malah memberi lebih kemudahan kepada penduduk Pantai Timur untuk meneroka dunia melalui rangkaian luas Singapore Airlines Group.

Tiket Serendah RM125

Berita paling menarik iaitu tambang Scoot dari Kota Bharu ke Singapura bermula hanya RM125 sehala, termasuk cukai!

Tempahan boleh dibuat di laman web flyscoot.com, aplikasi mudah alih atau melalui ejen pelancongan sah.

Dengan harga serendah ini, memang rugi kalau tak rebut peluang untuk “short getaway” ke Singapura sama ada untuk membei-belah, makan-makan, atau sekadar nikmati percutian hujung minggu.

Pelancaran laluan baharu Scoot ke Kota Bharu bukan sekadar langkah besar untuk syarikat penerbangan itu, tapi juga khabar gembira buat rakyat Pantai Timur yang kini boleh ke luar negara dengan lebih mudah, selesa dan bajet berpatutan.

SUMBER RUJUKAN: Scoot