Studio permainan video dari Poland, Jujubee, bersama penerbit 101XP, mengumumkan bahawa permainan baharu yang dinanti-nantikan, Dark Moon, bakal dilancarkan pada 29 Oktober 2025.
Permainan ini akan dilancarkan di platform Steam, GOG, dan Epic Games Store.
Dark Moon dianggap sebagai salah satu permainan yang paling dinanti dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana gabungan elemen strategi masa nyata (real-time strategy) dan kelangsungan hidup (survival) dalam dunia yang penuh cabaran.
Walaupun kisahnya berlatarkan Bulan, ramai pemain menyamakan permainan ini dengan Frostpunk kerana asas dan gaya permainannya yang serupa. Namun begitu, setiap permainan video tetap mempunyai identiti tersendiri begitu juga dengan Dark Moon.
Antara tarikan utama dalam permainan ini ialah pangkalan mudah alih gergasi berbentuk labah-labah, yang benar-benar mencuri perhatian pemain.
Untuk yang mungkin baru mendengar nama Jujubee, studio dari Poland ini bukan calang-calang pembangun permainan video. Ditubuhkan sejak tahun 2012, mereka pernah menghasilkan beberapa tajuk popular seperti siri FLASHOUT, Realpolitiks, serta permainan simulasi Take Off: The Flight Simulator, Punk Wars, dan Deep Diving Adventures.
Ketika ini, studio tersebut sedang membangunkan beberapa permainan baharu termasuk Dark Moon (genre strategi dan survival) serta Emerald Caravan (RPG santai).
Jujubee dikenali kerana menghasilkan permainan dengan visual yang menarik dan pengalaman bermain yang menghiburkan untuk platform konsol serta PC. Tidak lupa juga, studio ini turut tersenarai dalam NewConnect, iaitu segmen pasaran Bursa Saham Warsaw (Warsaw Stock Exchange).
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara pemain terawal! Tambahkan Dark Moon ke wishlist Steam anda sekarang!