INSENTIF GOMEN

RM140 Juta Jadi Suntikan Baharu, Lonjak Industri Seni Negara

Peruntukan sebanyak RM140 juta untuk industri kreatif menerusi Belanjawan 2026 disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sektor seni negara apabila mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi kreatif tempatan.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata dana itu akan membantu memperkukuh ekosistem industri kreatif, membuka peluang pekerjaan baharu kepada penggiat seni dan menarik minat pelancong terhadap hasil karya tempatan.

Galak Penghasilan Filem dan Konsert Antarabangsa

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan RM140 juta bagi memperkukuh sektor kreatif negara.

Daripada jumlah itu, RM110 juta disediakan sebagai insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa, termasuk RM10 juta khusus untuk kandungan kenegaraan.

Selain itu, RM20 juta turut diperuntukkan bagi menyokong ekosistem kreatif digital, termasuk industri animasi dan permainan digital tempatan, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), termasuk sokongan terhadap penganjuran konsert bertaraf antarabangsa serta pembangunan kandungan animasi moden berasaskan teknologi terkini.

Penggiat Seni Nikmati Perlindungan Sosial

Dalam masa sama, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh, menyambut baik belanjawan ini yang disifatkan seiring dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025.

Melalui akta tersebut, kerajaan menanggung 70 peratus caruman PERKESO bagi pendaftaran kali pertama dan 50 peratus bagi tahun berikutnya, bagi menjamin kebajikan pekerja filem dan seni.

Fokus Pembangunan Modal Insan dan Animasi

Khalil turut menegaskan tumpuan kerajaan terhadap industri animasi dan kreatif digital amat tepat kerana mampu membuka pasaran global serta menjamin masa depan generasi muda.