INSENTIF GOMEN, Kewangan

Rezeki Penjawat Awam! Bantuan Khas RM500 Diumum Dalam Belanjawan 2026

Sumber gambar daripada Instagram

Berita gembira buat penjawat awam! Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk mereka yang berstatus kontrak.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemberian ini dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan kerajaan.

Katanya, bantuan khas ini juga mengambil kira pelaksanaan peningkatan gaji tahun 2026 yang melibatkan tambahan besar sebanyak RM18 bilion.

Bukan itu saja, semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen juga akan menerima bantuan khas RM250.

“Dengan mengambil kira semua inisiatif ini, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak,” katanya semasa sesi pembentangan di Dewan Rakyat.

Kerajaan masih meneruskan bantuan lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diagihkan setiap bulan kepada rakyat.

Menariknya, bantuan ini akan disalurkan pada awal Mac 2026, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dengan itu, ia dijangka memberi kelegaan kepada ramai penerima yang bakal membuat persiapan raya lebih awal.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut menghargai sumbangan tenaga pengajar agama di seluruh negara.

Sebagai penghargaan, lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut akan menerima sumbangan khas RM500, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta.

Langkah ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan penjawat awam dan tenaga agama.

Belanjawan 2026 kali ini dianggap membawa nafas baharu serta harapan baharu kepada rakyat Malaysia, terutama menjelang perayaan yang bakal tiba.

SUMBER RUJUKAN: “Belanjawan 2026: Bantuan Khas RM500 bagi penjawat awam” HARIAN METRO