Sumber: Wau Bulan Channel
Siapa tak kenal Wau Bulan, layang-layang tradisional yang menjadi lambang seni dan identiti masyarakat Melayu? Bentuknya yang indah, dihiasi corak halus dan warna cerah menjadikan Wau Bulan bukan sekadar permainan tradisional tetapi simbol kehalusan jiwa seni bangsa Melayu.
Asal Usul Wau Bulan
Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Wau Bulan dipercayai berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia, khususnya negeri Kelantan dan Terengganu.
Nama “Wau” diambil daripada bunyi “wauuu” yang dihasilkan apabila layang-layang ini diterbangkan ke udara. Manakala nama “bulan” pula merujuk pada bentuk lengkung bahagian atasnya yang menyerupai bulan sabit.
Dalam usaha mengenali sejarah dan keunikan budaya permainan tradisional wau, pasti ramai yang tertanya-tanya tentang asal-usul perkataan ‘wau’.
Bagi menjawab persoalan tersebut, seorang lelaki telah berkongsi sebuah video ketika berkunjung ke Galeri Wau Pak Sapie and Sons yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.
Pada zaman dahulu, Wau bukan sekadar alat hiburan, tetapi satu bentuk komunikasi dan pertandingan di kalangan petani selepas musim menuai.
Masyarakat kampung akan berkumpul di sawah lapang, menerbangkan wau masing-masing untuk melihat siapa yang mampu menghasilkan wau paling stabil dan cantik di udara.
Simbolisme Dalam Reka Bentuk
Sumber: Pemetaan Budaya (JKKN)
Setiap bahagian Wau Bulan mempunyai makna tersendiri.
• Lengkung atas melambangkan keindahan dan kelembutan wanita Melayu.
• Ekor panjang mencerminkan kesopanan dan ketertiban budaya.
• Corak flora dan fauna, seperti bunga tanjung atau burung merak, menggambarkan hubungan rapat masyarakat Melayu dengan alam semula jadi.
Pembuatan wau juga mencerminkan nilai kesabaran, ketelitian dan kreativiti, kerana setiap corak dilukis dan disusun secara manual menggunakan kertas minyak, buluh dan tali halus.
Wau Dalam Budaya & Warisan
Wau Bulan kini diangkat sebagai salah satu identiti Malaysia, malah dijadikan logo rasmi syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines (MAS). Ia turut diiktiraf sebagai warisan budaya tak ketara negara oleh Jabatan Warisan Negara.
Setiap tahun, Pesta Wau Kebangsaan Kelantan diadakan di Pantai Geting, Kelantan bagi mengekalkan warisan ini agar tidak hilang ditelan arus moden.
Namun begitu, Wau Bulan bukan sekadar layang-layang, tetapi simbol keindahan, kehalusan seni dan jati diri Melayu. Dari sawah padi hingga ke langit, wau terus melambangkan semangat bangsa yang mencintai seni dan tradisi.
SUMBER RUJUKAN: WAU BULAN
