Automotif, Tech

Proton e.MAS 5: EV Pertama Mampu Milik Dari RM60,000, Nampak Berbaloi!

Proton kini mengorak langkah besar dalam dunia kenderaan elektrik (EV) apabila membuka tempahan untuk model terbaharunya, Proton e.MAS 5. Dengan harga anggaran bermula RM60,000 hingga RM80,000, model ini dijangka menjadi EV paling mampu milik di pasaran tempatan dan penghantaran pertama dijadualkan seawal November 2025.

Rekaan Moden & Mesra Pengguna

Proton e.MAS 5 tampil dengan rekaan sporty yang menonjolkan lampu utama LED berbentuk unik, lampu belakang bergaya moden serta rim aloi 16 inci. Bahagian dalaman pula dipenuhi sentuhan teknologi dengan paparan instrumen digital 8.8 inci serta skrin infotainmen besar 14.6 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, sekali gus menambahkan rasa premium.

Prestasi & Jarak Pemanduan Praktikal

Dikuasakan motor elektrik bersepadu dengan 85kW serta 150Nm tork, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j hanya dalam 3.9 saat. Bateri 40.16kWh memberikan jarak pemanduan sehingga 325km dengan sekali caj. Menariknya, Proton e.MAS menyokong pengecasan DC 71kW dengan kebolehan pengisian pantas dari 30% ke 80% dalam masa 21 minit sahaja, selain pengecasan AC untuk kegunaan di rumah.

@protonemasklsegambut

Comel kan Leona ni? 🥹 Cuba korang teka kenapa Leona pilih Proton e.MAS 7 as her first car? ✨ #ProtonCahaya #protonsegambut #PROTONEV #ProtonEMAS7 #ProtonEV

♬ suara asli – astroo🌊 – astrooo🪐

 

Tempahan Awal & Tawaran Menarik

Bagi yang berminat, tempahan boleh dibuat dengan bayaran serendah RM99 di 42 pusat jualan Proton e.MAS di seluruh negara atau menerusi laman rasmi Proton. Sebagai bonus, 5,000 pelanggan terawal bakal menerima kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi khas bernilai RM100 bersama rebat tambahan RM500.

Menurut kenyataan rasmi PRO-NET, Proton e.MAS 5 dibangunkan untuk membawa rakyat Malaysia lebih dekat dengan teknologi mobiliti hijau tanpa perlu membayar harga tinggi. Dengan gabungan gaya moden, prestasi praktikal dan harga mesra poket, model ini diyakini akan menjadi pilihan utama keluarga muda serta pengguna bandar.