Sony dikatakan sedang bersiap sedia untuk fasa konsol baharu mereka.
Walaupun PlayStation 5 masih dianggap sebagai “next-gen console” bagi ramai pemain, khabar angin tentang kemunculan PlayStation 6 (PS6) sudah mula hangat diperkatakan. Menurut laporan portal permainan antarabangsa, Sony dikatakan bakal memulakan proses pengeluaran PS6 seawal tahun 2027.
Masih Awal, Tapi Sony Dah Bersedia
Maklumat ini dikatakan berpunca daripada pendedahan seorang YouTuber teknologi, Moore’s Law Is Dead, yang mendakwa mempunyai dokumen dalaman berkaitan perancangan konsol baharu itu.
Berdasarkan maklumat tersebut, pengeluaran PS6 dijangka bermula pada awal hingga pertengahan 2027, sekali gus memberi bayangan bahawa konsol ini mungkin dilancarkan sekitar musim panas atau musim luruh pada tahun yang sama.
Untuk konteks, PS5 mula dihasilkan sekitar Ogos 2020 dan dilancarkan pada November tahun tersebut. Jadi, jika Sony mengekalkan pola yang sama, tempoh antara pengeluaran dan pelancaran PS6 dijangka mengambil masa lebih kurang tiga bulan.
7 Tahun Antara Generasi
Jika benar PS6 akan hadir pada 2027, ini bermakna Sony mengekalkan jarak tujuh tahun antara setiap generasi utama konsol mereka. Sama seperti peralihan daripada PS4 ke PS5.
Ramai peminat bagaimanapun berpendapat bahawa konsol generasi semasa masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, memandangkan jumlah permainan eksklusif PS5 masih agak terhad.
Ada Elemen Handheld?
Menariknya, terdapat juga spekulasi bahawa PS6 mungkin menampilkan komponen handheld, menjadikannya lebih fleksibel dan sesuai dengan trend portable gaming masa kini.
Walau apa pun, Sony masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara ini.
Kalau betul PS6 akan tiba dalam masa dua tahun lagi, nampaknya kita semua kena bersedia untuk kemas kini besar dunia gaming.
Adakah PS6 akan benar-benar membawa sesuatu yang baharu, atau sekadar versi lebih hebat daripada PS5?
Sumber: The Gamer
Foto kredit: alexandr/wallpaper.com