Ramai antara kita nak sihat, tapi bila dengar pasal diet seimbang, terus rasa macam susah nak mula. Padahal, nak jaga pemakanan sebenarnya tak serumit yang disangka asalkan tahu asasnya.
Apa Itu Pemakanan Seimbang?
Sumber: Facebook
Pemakanan seimbang bermaksud diet yang mengandungi nutrisi lengkap yang cukup karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral untuk tubuh berfungsi dengan baik setiap hari. Ia bukan sekadar tentang “kurangkan makan” tapi lebih kepada “makan dengan cara yang betul”.
Dengan kata lain, makan sihat bukan bermaksud perlu berlapar atau elak semua makanan sedap. Kunci dia adalah keseimbangan.
Isu Pemakanan Seimbang: Faham Dulu Tentang Saiz Hidangan!
Pernah tengok label makanan yang tulis “1 hidangan = ½ cawan”? Inilah yang dipanggil saiz hidangan iaitu jumlah makanan yang disarankan untuk sekali makan. Tapi, ramai yang keliru antara saiz hidangan dan saiz bahagian (portion size).
Contohnya:
• Kalau label tulis ½ cawan nasi, tapi kita ambil 1 cawan penuh, itu dah dua kali ganda bahagian.
• 1 genggam tangan = lebih kurang 1 cawan.
• Sebiji bola tenis = ½ cawan.
• Ibu jari = 1 sudu makan.
Nak sihat bukan bermaksud kena ukur makanan dengan cawan betul-betul, tapi sekadar tahu anggaran supaya tak makan berlebihan. Lama-lama, anda akan terbiasa.
Kumpulan Makanan Yang Perlu Ada Dalam Diet Seimbang
Untuk badan kekal sihat dan bertenaga, setiap hidangan harian perlu datang daripada kumpulan makanan utama ni:
1. Protein – Dari ayam, ikan, telur, kekacang dan tofu. Penting untuk baiki dan bina tisu badan.
2. Karbohidrat – Sumber tenaga utama dari nasi, roti, ubi dan pasta.
3. Buah & Sayur – Bekalan vitamin, mineral dan serat untuk sistem imun kuat.
4. Lemak Sihat – Dari minyak zaitun, kekacang dan ikan. Jangan takut makan lemak, asalkan yang baik!
5. Tenusu / Alternatif – Susu, yogurt atau susu soya sebagai sumber kalsium dan protein tambahan.
Elak Makanan Tinggi Lemak, Garam & Gula
Kajian menunjukkan ramai rakyat Malaysia ambil kalori, garam dan gula berlebihan, tapi kurang makan buah dan sayur. Akibatnya, kes penyakit jantung, diabetes dan hipertensi meningkat saban tahun.
Kalau nak sihat sampai tua, amalkan kesederhanaan:
• Kurangkan minuman manis (teh ais, boba, soda).
• Elakkan makanan bergoreng dan tinggi lemak tepu.
• Banyakkan air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.
Bila tahu asas pemakanan seimbang, anda tak perlu ikut diet ekstrem atau tahan lapar. Cukup dengan kawalan saiz, pilih makanan dari kumpulan utama, dan kurangkan gula serta garam itu sudah langkah besar ke arah gaya hidup sihat.
Mulakan dengan perubahan kecil, contohnya:
• Tukar minuman manis kepada air kosong.
• Tambah sayur setiap kali makan.
• Kurangkan snek bergula.
Ingat, sihat bukan tentang cepat kurus tapi tentang kekal bertenaga dan bahagia setiap hari!
SUMBER RUJUKAN: HELLO DOKTOR
