Bisnis

MATRADE & China Construction Bank Catat 95 Hasrat Kolaborasi Baharu di CAEXPO 2025

Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dengan kerjasama China Construction Bank (CCB) dan Sekretariat China-ASEAN Expo (CAEXPO) berjaya menganjurkan Sesi Padanan Perniagaan B2B Malaysia-China ke-7 di Nanning, Guangxi, China pada 16 September lalu, bersempena dengan Pameran China-ASEAN ke-22 (CAEXPO 2025).

Acara ini diadakan bagi mengukuhkan kehadiran Malaysia di CAEXPO serta merancakkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.

Sesi tersebut turut menjadi kesinambungan kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang diperbaharui pada tahun 2024, menunjukkan komitmen MATRADE dalam memperkukuh hubungan dagangan serta rundingan perniagaan masa nyata.

Lebih 200 syarikat menyertai sesi berkenaan, termasuk 50 pengeskport Malaysia dan kira-kira 150 syarikat China yang merupakan pelanggan CCB dari wilayh Jiangsu, Jilin, Liaoning dan Guangxi

Sebanyak 200 pertemuan perniagaan antara satu sama lain dijalankan, menghasilkan 95 hasrat kolaborasi yang menandakan minat tinggi terhadap kerjasama rentas sempadan.

Antara sektor tumpuan ialah produk pertanian premium seperti sarang burung, makanan dan minuman, produk kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, bahan binaan, logistik serta artificial intelligence (AI).

Menurut Ketua Pegawai Eskekutif MATRADE, Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz, kerjasama dengan CCB memainkan peranan penting dalam membantu pengeksport Malaysia menembusi bandar tier kedua dan ketiga yang sedang pesat membangun seperti Nanning, dengan sokongan kemudahan pembiayaan daripada CCB.

“Usaha ini mencerminkan hubungan ekonomi Malaysia-China yang semakin kukuh, selain menegaskan peranan strategik MATRADE sebagai penghubung utama antara pengeksport Malaysia dan pembeli global,” katanya.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Duta Besar China ke Malaysia, H.E. Ouyang Yujing, Konsul Jeneral Malaysia ke Nanning, H.E. Ahmad Phadil Ismail, serta wakil daripada CCB, Sekretariat CAEXPO dan MATRADE.

Selepas sesi padanan perniagaan itu, beberapa MoU dan Surat Hasrat (LoI) turut ditandatangani di Pavilion Malaysia semasa CAEXPO, menandakan hasil nyata daripada perbincangan tersebut.

Kejayaan ini membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan, khususnya dalam sektor berimpak tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan kedua-dua negara.