Berita, INSENTIF GOMEN

Isu Pengeluaran KWSP Umur 65 Tahun: Cadangan Bank Dunia Dapat Tentangan Rakyat Malaysia

Isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali hangat diperkatakan minggu lalu apabila Bank Dunia mencadangkan had umur pengeluaran penuh dinaikkan daripada 55 tahun kepada 65 tahun.

Cadangan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia. Berdasarkan tinjauan undian yang dijalankan oleh Sinar Harian, hampir 90 peratus rakyat menolak cadangan tersebut.

Ramai berpendapat menunggu sehingga usia 65 tahun untuk menikmati simpanan sendiri adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak praktikal.

Menurut pandangan umum, cadangan itu terlalu berasaskan teori dan angka tanpa mengambil kira realiti kehidupan rakyat biasa yang bekerja keras mencari rezeki sepanjang hayat.

Walaupun jangka hayat rakyat Malaysia kini sekitar 75 tahun, hakikatnya ramai yang sudah berdepan masalah kesihatan dan beban hutang seawal usia 50-an.

Bayangkan, selepas berpuluh-puluh tahun menyimpan, pencarum hanya berpeluang menggunakan wang mereka dalam tempoh sekitar 10 tahun terakhir kehidupan. Pada usia itu, kudrat semakin berkurangan dan kemampuan menikmati hasil simpanan juga mungkin tidak lagi seperti dahulu.

Pakar ekonomi turut berpandangan bahawa isu sebenar bukan pada umur pengeluaran, sebaliknya pada jumlah simpanan yang tidak mencukupi dan kuasa beli rakyat yang semakin lemah.

Oleh itu, kerajaan disarankan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan simpanan dan pendapatan rakyat, bukannya menangguhkan hak mereka untuk mengakses wang sendiri.

Sekiranya kerajaan mahu menggalakkan rakyat menyimpan lebih lama, langkah yang lebih wajar ialah menawarkan insentif khas kepada pencarum yang memilih secara sukarela untuk menangguhkan pengeluaran sehingga umur 65 tahun dan bukannya menjadikan perkara itu sebagai kewajipan kepada semua.

Cadangan Bank Dunia dan Tujuannya

Dalam laporan terbaharunya bertajuk “Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options”, Bank Dunia turut mencadangkan agar umur kelayakan pencen sosial dinaikkan secara berperingkat kepada antara 65 hingga 70 tahun.

Menurut Bank Dunia, langkah ini bertujuan memastikan sistem perlindungan sosial negara kekal mampan selaras dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia yang kini lebih panjang dan sihat.

Cadangan ini juga dikatakan dapat membantu kerajaan menyalurkan bantuan dengan lebih tepat kepada warga emas yang benar-benar memerlukan, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Namun begitu, bagi rakyat Malaysia yang sedang berdepan kos sara hidup yang tinggi, cadangan ini dianggap tidak sesuai dengan realiti semasa.

Ramai berpendapat ia akan menambah tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung sepenuhnya kepada simpanan KWSP selepas bersara.

Selain itu, Bank Dunia turut menegaskan bahawa sebarang kenaikan umur kelayakan perlu disertai dengan peluasan skim pencen sosial kepada lebih ramai penerima agar tidak menjejaskan mereka yang sedia menerima bantuan.

Dengan cara ini, kadar pencen sosial dapat dinaikkan tanpa menambah beban fiskal kerajaan secara mendadak.

Walau bagaimanapun, cadangan ini masih di peringkat kajian dan belum dilaksanakan. Justeru, rakyat dinasihatkan agar tidak panik.

Secara keseluruhannya, cadangan menaikkan umur pengeluaran KWSP kepada 65 tahun mungkin kelihatan “ideal” di atas kertas, namun dari sudut kehidupan sebenar, ia berisiko menzalimi pencarum yang telah bekerja keras seumur hidup.

Apa yang rakyat mahukan bukan sekadar angka dan teori ekonomi, tetapi keadilan untuk menikmati hasil titik peluh mereka pada waktu yang mereka benar-benar perlukan.

SUMBER RUJUKAN: SINAR HARIAN & HARIAN METRO