PEEK DAILY, Trivia

Isu Bayaran Jurugambar RM300 Cetus Perdebatan, Nilai Tenaga Kreatif Perlu Dihargai

Perbincangan hangat tercetus baru-baru ini di media sosial apabila tular dakwaan tentang kadar bayaran jurugambar yang hanya menerima RM300 bagi tugasan selama empat jam untuk satu majlis hari lahir seorang selebriti secara tertutup di sebuah hotel mewah.

Isu tersebut menarik perhatian ramai penggiat kreatif dan warganet yang menyifatkan bayaran sedemikian tidak sepadan dengan tenaga, masa dan kemahiran yang diperlukan.

Perkongsian yang dibuat di platform Thread itu mencetuskan pelbagai reaksi ada yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan tidak menghargai kerja profesional seseorang.

“Dah la birthday selebriti, buat pula dekat hotel mahal, demand coverage empat jam tapi bayar RM300 je? Memang mengarut betul,” tulis individu berkenaan.

Ramai pengguna lain turut bersetuju, malah menganggap kadar bayaran tersebut terlalu rendah berbanding beban kerja dan kos peralatan yang perlu ditanggung.

“Empat jam RM300? Hina betul rate dia.”
“Saya bayar sport cameraman sejam pun dah dua ratus lebih, ini empat jam dekat hotel?”

Namun, ada juga pihak yang tampil menjelaskan bahawa acara tersebut hanyalah sesi santai dan tidak melibatkan penggambaran berskala besar. Mereka juga memohon maaf sekiranya ada pihak tersinggung dengan kadar bayaran yang disebut.

“Acara ni bukan event besar pun, cuma majlis peribadi kecil. Kami pun pernah bayar jurugambar dengan kadar tinggi sebelum ni,” jelas wakil pihak terlibat.

Isu ini bagaimanapun membuka perbincangan lebih luas tentang penghargaan terhadap tenaga kerja kreatif terutama jurugambar, videografer dan krew produksi yang sering berdepan bayaran tidak setimpal dengan usaha serta masa mereka.