Hat Yai kini memasuki fasa pemulihan selepas sembilan hari berdepan banjir besar, namun angka sebenar kerosakan mulai terserlah iaitu lebih 8,000 kereta ditemui tenggelam di seluruh wilayah, menjadikannya antara kerosakan aset persendirian terbesar dalam sejarah bandar itu.

Walaupun sekitar 80 peratus penduduk telah kembali ke rumah masing-masing untuk menilai keadaan, sebahagian lagi masih menunggu di pusat pemindahan sementara kerana kediaman mereka belum dapat diduduki.
Pihak berkuasa wilayah kini sedang menilai tahap kerosakan kenderaan yang tenggelam bagi menentukan bentuk bantuan atau pampasan yang boleh disalurkan kepada mangsa. Jumlah itu dijangka meningkat apabila lebih banyak kawasan dinaiki air berjaya dicerobohi pasukan penyelamat.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan proses pembuangan barang rosak, lumpur dan sisa banjir dipercepatkan. Beliau menyasarkan penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing dalam tempoh tujuh hari, manakala operasi pembersihan seluruh Hat Yai perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
Namun, di sebalik usaha besar-besaran itu, ramai penduduk masih terperangkap dalam dilema pulang, tetapi tidak tahu apa yang menanti.
Kemusnahan besar di Hat Yai melibatkan lebih 226,000 isi rumah dan hampir 407,000 penduduk. Insfrastruktur utama turut terganggu dengan lebih 176,000 akaun elektrik terputus bekalan sebelum 90 peratus daripadanya dipulihkan semula. Bekalan air bersih juga masih dalam proses pemulihan, dengan hanya 60 peratus kawasan kembali menerima air. Telekomunikasi pula berada pada tahap 85 peratus pemulihan rangkaian.
Sementara itu, penduduk yang masih berada di pusat pemindahan menunggu arahan seterusnya. Pusat pemindahan PSU juga dijadualkan memindahkan baki mangsa ke lokasi baharu di Ban Phru – Wat Thep Chum Num, bagi memberi ruang kepada kerja pembersihan menyeluruh.












