Grand Theft Auto 6 sekali lagi mencuri perhatian industri permainan video, bukan sahaja kerana statusnya sebagai antara judul paling dinanti dalam sejarah, tetapi juga selepas penangguhan terbaharunya yang semakin “menghampiri” tarikh pelancaran kepada genrasi konsol seterusnya.
Dengan reputasi Rockstar sebagi pembina dunia permainan yang penuh perincian, setiap trailer yang dikeluarkan sudah cukup membuatkan peminat melakukan bedah siasat visual untuk mencari petunjuk tersembunyi.
Peminat Dakwa GTA 6 ‘Sembunyikan’ Konsol PS6
Dalam trailer kedua GTA 6 yang sudah memecah rekod tontonan peminat pantas menyedari satu objek yang menyerupai konsol PlayStation terletak di sisi televisyen dalam apartmen watak Jason. Lebih ‘menguatkan’ teori tersebut, sebuah alat kawalan mirip DualSense juga kelihatan di meja kopi.

Walaupun sesetengah peminat bergurau bahawa Rockstar mungkin memberikan ‘sneak peek’ kepada konsep PlayStation 6, realitinya terlalu awal untuk dijangka.
Trailer tersebut dirakam sepenuhnya menggunakan hardware PlayStation 5, jadi berkemungkinan besar hanyalah penghormatan kepada konsol semasa Sony. Namun begitu, ia tidak menghentikan spekulasi berterusan dalam komuniti permainan.
GTA 6 Ditolak 6 Bulan Ke Penghujung 2026
Penangguhan terkini iaitu penolakan pelancaran ke hujung tahun 2026 meneruskan siri kelewatan yang sudah dua kali melanda projek mega ini.
Walaupun ramai menerima berita ini dengan lebih positif kerana yakin Rockstar sedang memperhalusi kualiti permainan, ia mencetuskan satu ironi: semakin lambat siap, semakin dekat berada dengan era konsol baharu.
Adakah GTA 6 Bakal Menjadi Judul Pelancaran PlayStation 6?
Ramalan industri kini meletakkan pengumuman awal PlayStation 6 sekitar atau selepas tahun 2027. Jika Rockstar berdepan satu lagi kelewatan, GTA 6 berpotensi menjadi judul pelancaran untuk konsol generasi baharu Sony.
Sesuatu yang secara tidak langsung ‘diteaser’ dalam trailer sebelum ini.

Kemungkinan ini agak menarik kerana rakaman visual GTA 6 sendiri sudah mencapai tahap fideliti tinggi yang hampir menyamai standard next-gen.
Namun, aspek ini juga membawa cabaran tersendiri. Rockstar mungkin terpaksa melaraskan pembangunan untuk menepati hardware baharu atau merancang strategi dwi-generasi seperti yang berlaku pada awal era PS5.
Adakah Rockstar Mahu Menunggu Generasi Seterusnya?
Walaupun idea untuk melancarkan GTA 6 bersama PlayStation 6 kedengaran epik, ia bukanlah strategi yang memberikan banyak manfaat komersial.
GTA ialah jenama global yang tidak memerlukan momentum konsol baharu untuk mencapai kejayaan.
Namun, selagi proses pembangunan terus memakan masa, semakin besar kemungkinan jenaka peminat bertukar menjadi kenyataan.
GTA 6 kini berada di persimpangan antara generasi permainan video. Sama ada ia dilancarkan untuk PlayStation 5 seperti dirancang, atau terheret ke zaman PlayStation 6 akibat penangguhan berterusan. Sudah pasti peminat sudah bersedia menunggu, asalkan permainan ini benar-benar menjadi lonjakan generasi seterusnya seperti yang dijanjikan oleh Rockstar.












