Edisi Digital Deluxe kini dibuka untuk pra-tempahan dengan pelbagai bonus menarik!
Remake Klasik Seram Jepun Kembali dengan Visual dan Audio Serba Baharu
KOEI TECMO America dan Team NINJA akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran FATAL FRAME II: Crimson Butterfly REMAKE, iaitu pada 12 Mac 2026.
Versi baharu permainan seram ikonik ini bakal dilancarkan secara global di PlayStation 5, Nintendo Switch 2, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam.
Sebagai meraikan pembukaan pra-tempahan, penerbit turut mempersembahkan treler baharu yang mempamerkan peningkatan ketara dari segi grafik, bunyi dan kawalan yang lebih halus.
Remake penuh ini menjanjikan pengalaman seram psikologi yang lebih menarik berbanding versi asalnya pada tahun 2003.

Grafik & Bunyi Ditingkatkan, Atmosfera Lebih Menggerunkan
FATAL FRAME II: Crimson Butterfly REMAKE tampil dengan visual yang dipertingkat menggunakan tekstur definisi tinggi, pencahayaan dinamik serta bayangan yang lebih realistik.
Elemen audio turut diperbaharui dengan sistem spatial audio, membolehkan pemain benar-benar ‘merasai’ kehadiran roh jahat di sekeliling mereka.
Antara detik mencemaskan termasuklah roh yang cuba menarik tangan watak utama ketika mengambil objek, atau muncul secara tiba-tiba di sebalik bayangan.
Sekiranya gagal bertindak pantas, pemain akan menerima Willpower Damage yang membawa kepada pertempuran sengit.
Kamera Obscura Kini Lebih Taktikal dan Interaktif
Mekanik ikonik Camera Obscura turut dirombak sepenuhnya. Pemain masih perlu mengambil gambar untuk menyerang roh, namun kini sistem fokus dan penjajaran gambar memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kerosakan.
Ciri baharu seperti Shutter Chance, Fatal Frame, dan Fatal Time menambah elemen taktikal dalam pertempuran, menuntut pemain untuk memadukan ketepatan dan masa yang sempurna bagi menghapuskan roh dengan satu tangkapan maut.
Selain itu, Camera Obscura kini dilengkapi fungsi zoom, fokus, dan filter khas seperti Paraceptual Filter yang membantu pemain mendedahkan memori silam dan petunjuk tersembunyi semasa meneroka perkampungan Minakami yang berhantu.
Interaksi Lebih Mendalam Antara Mio dan Mayu
Antara ciri tambahan menarik ialah pemain kini boleh memegang tangan Mayu, yang bukan sekadar memperkukuh hubungan emosi dua beradik ini tetapi juga memulihkan Health dan Willpower.
Namun, jika Mayu berada dalam bahaya, dia boleh terjatuh dan memerlukan bantuan Mio yang mewujudkan elemen perlindungan dan kesetiaan yang mendalam.
Selain itu, sistem baharu Charm Bag membolehkan pemain mengumpul dan melengkapkan Charm untuk mendapatkan pelbagai kesan tambahan semasa bertarung.
Edisi Digital Deluxe & Bonus Pra-Tempahan
Pra-tempahan kini dibuka untuk Edisi Digital Deluxe, yang merangkumi permainan asas, Digital Soundtrack, Art Book, serta set bonus termasuk Deluxe Charm dan kostum eksklusif Mio dan Mayu.
Pemain yang membuat pembelian awal sebelum 25 Mac 2026 akan menerima bonus tambahan seperti Wraith Charm, Peony Hair Ornament (Merah/Biru), serta Kimono (Merah/Hitam).
Sementara itu, mereka yang membuat pra-tempahan digital sebelum pelancaran akan menerima Spirit Charm, aksesori Cat Ears (Putih/Hitam), dan kostum klasik Crimson Butterfly – Mio & Mayu (Original) yang diinspirasikan daripada permainan asal.
Pelancaran Global Mac 2026
FATAL FRAME II: Crimson Butterfly REMAKE bakal dilancarkan secara rasmi pada 12 Mac 2026 dengan sokongan suara Jepun serta sari kata dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, dan Sepanyol.
Untuk maklumat lanjut, peminat boleh melayari laman rasmi KOEI TECMO America serta mengikuti akaun rasmi di YouTube, X, Instagram dan Discord bagi kemas kini terkini tentang perjalanan seram penuh misteri ini.
Kredit foto: Steam
Kredit foto:Steam
Kredit foto:GamePress