Games, PEEK DAILY

“Chill With You: Lo-Fi Story” Akan Dilancarkan di Steam pada 17 November 2025

Studio pembangunan Jepun, Nestopi Inc., mengumumkan bahawa permainan terbaharu mereka, Chill With You: Lo-Fi Story, akan dilancarkan di Steam pada 17 November 2025.

Permainan ini dibangunkan untuk platform Windows dan Mac, namun harga rasmi belum diumumkan.

Mengenai Permainan

Chill With You: Lo-Fi Story ialah permainan berkonsepkan kerja dan pengembaraan (workplace adventure) yang menggabungkan unsur produktiviti dan penceritaan.

Pemain akan berinteraksi dengan Satone, seorang gadis muda yang gemar menulis novel dan memiliki imaginasi yang tinggi.

Cerita bermula apabila pemain berkenalan dengan Satone melalui aplikasi sembang kerja maya. Melalui itu, kedua-duanya akan “bekerja sama”, berkongsi masa menulis, mendengar muzik lo-fi, dan membina keakraban yang berkembang seiring perjalanan cerita.

Ciri Utama

Permainan ini dilengkapi dengan fungsi Pomodoro Timer, yang membolehkan pemain menetapkan tempoh kerja mengikut masa sendiri. Satone akan bertindak balas secara serentak, mencipta suasana kerja yang interaktif dan selesa.

Selain itu, permainan ini turut menampilkan bunyi ambien seperti hujan, papan kekunci, dan radio statik, bagi mewujudkan suasana kerja yang realistik.

Pemain juga boleh menyesuaikan kombinasi muzik dan bunyi alam untuk meningkatkan fokus dan suasana kerja.

Dari segi audio, permainan ini menawarkan 16 lagu asli yang digubah khas untuk Chill With You: Lo-Fi Story, hasil karya komposer muzik lo-fi profesional.

Visual permainan turut memperlihatkan pemandangan luar tingkap yang berubah mengikut emosi Satone dan perkembangan naratif, termasuk cuaca seperti hujan, salji, dan elemen misteri lain.

Versi Demo

Seiring dengan pengumuman tarikh pelancaran, versi demo baharu kini tersedia di Steam. Demo tersebut membolehkan pemain berbual dan berkerja bersama Satone selama kira-kira lima jam, dan data simpanan daripada versi demo boleh dipindahkan ke versi penuh apabila permainan rasmi dilancarkan.