Berita, Kewangan

BUDI95 Kini Diperluas: Nelayan, Pengguna Bot & Pemegang Lesen Baru Terima Manfaat!

Berita baik buat rakyat Malaysia, Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kini diperluas
kepada sektor perikanan, membabitkan golongan nelayan dan pemilik bot persendirian, selain pemegang lesen memandu baharu.

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), lebih 31,000 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat menerusi peluasan kelayakan subsidi bersasar.

Antara yang layak termasuk lebih 17,900 nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lebih 4,300 pemilik bot persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah. Selain itu, lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan oleh JPJ turut tersenarai sebagai penerima.

Dengan peluasan ini, mereka kini menjadi sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat Malaysia yang menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

Dalam kenyataan rasmi, MoF menjelaskan bahawa kelayakan bagi tiga kumpulan baharu ini telah pun diaktifkan, dan kementerian kini sedang memuktamadkan data tambahan pengguna bot tanpa lesen di negeri-negeri lain terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Sementara itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama syarikat e-hailing (EHO) juga sedang menyelaraskan pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan untuk pemandu e-hailing sepenuh masa. Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan pendapatan mereka tidak terjejas oleh pelaksanaan subsidi bersasar.

Kerajaan melalui aspirasi MADANI menegaskan komitmennya untuk memastikan program ini berjalan lancar, telus, dan terus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF turut berjanji untuk memantau pelaksanaan BUDI95 dengan rapi serta menambah baik dari semasa ke semasa.

Bagi mereka yang ingin tahu lebih lanjut, boleh layari portal rasmi BUDI MADANI, hubungi talian bantuan di 1-300-88-9595, atau mesej WhatsApp di +603-2631 4595. Portal ini juga dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi melalui MyDigital ID, yang memastikan data peribadi pengguna kekal selamat.

Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan terus berusaha memastikan manfaat subsidi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan dari darat hingga ke laut.