Ramai fikir bila dah dewasa, tanggungjawab cuma tentang kerja, duit, dan keluarga. Tapi sebenarnya salah satu tanda anda dah betul-betul matang ialah bila anda tahu menetapkan personal boundaries atau batasan peribadi dalam hidup.
Apa Itu Personal Boundaries?
Sumber: CrossroadsCounseling
Boundaries ni ibarat garis halus yang melindungi diri sendiri dari segi emosi, mental, dan fizikal.
Bahasanya mudah:
Inilah garis antara apa yang baik untuk aku dan apa yang tak. Tak ada siapa boleh langgar garis ni termasuk diri aku sendiri.
Orang yang ada boundaries tahu bila nak kata “tidak” tanpa rasa bersalah, dan dalam masa sama, masih terbuka untuk sayang dan disayangi.
Kenapa Boundaries Penting?
Sebab tanpa batasan, kita mudah hilang fokus dan letih memuaskan hati orang lain. Kadang, kita sanggup cakap “ya” walaupun hati kata “tolak”. Di sinilah boundaries main peranan supaya kita tak terpaksa hidup untuk orang lain.
Kata penulis Adelyn Birch:
Boundaries protect the things that are valuable to you. They keep you aligned with what you want in life.
Dengan kata lain, batasan ialah bentuk kasih sayang pada diri sendiri.
Contoh Personal Boundaries Dalam Kehidupan Harian
Setiap orang lain batasnya tapi semua berfungsi untuk jaga keseimbangan hidup. Antara contoh paling mudah:
• Tak balas e-mel kerja hujung minggu.
• Tak kerja lebih dari pukul 7 malam.
• Perlu “me time” setiap hari.
• Bergurau tapi masih hormat.
• Selesa mesej, tapi bukan setiap minit.
• Hidup berasingan daripada ibu bapa selepas kahwin.
• Jauhkan diri daripada orang yang suka buat tekanan.
Nampak kecil, tapi inilah langkah-langkah yang bantu kita kekal waras dan bahagia.
Cara Kenal Batas Diri Sendiri
Tanya diri soalan ni:
• Apa yang buat aku rasa tak selesa?
• Apa nilai yang aku pegang?
• Apa yang aku nak kongsi dan apa yang aku nak simpan?
• Tingkah laku macam mana yang aku tak boleh terima?
Dari situ, barulah kita boleh tetapkan batasan yang sihat, ikut keperluan dan prinsip diri sendiri. Boundaries bukan dinding pemisah, tapi jambatan untuk hubungan yang lebih sihat dengan orang lain dan diri sendiri.
Jadi, mulai hari ini, tetapkan batas, jaga diri, dan hormati ruang sendiri.
SUMBER RUJUKAN: JIWADAMAI
