PEEK DAILY, TV

‘Black Phone 2’ Kejutkan Box Office! Kutip USD43 Juta Seluruh Dunia

Filem seram terbaharu arahan Scott Derrickson, Black Phone 2, mencipta kejutan di pawagam apabila berjaya meraih kutipan sebanyak USD27.3 juta (RM128 juta) di Amerika Syarikat dan USD43 juta (RM203 juta) di seluruh dunia pada minggu pembukaan.

Kejayaan ini sekali gus menandakan kebangkitan semula syarikat produksi Blumhouse, selepas beberapa kegagalan sebelum ini termasuk M3GAN 2.0. Filem ini juga mendapat sambutan luar jangkaan apabila kutipan pada hari Ahad mencatatkan peningkatan.

Menariknya, Black Phone 2 menduduki tangga pertama di carta box office Amerika Utara, mengalahkan filem sains fiksyen Tron: Ares yang kini berada dalam zon kerugian besar selepas merosot hampir 67% pada minggu kedua tayangan.

Cerita Seram Yang Lebih Mendalam

Sekuel ini menampilkan semula Ethan Hawke sebagai pembunuh bersiri juga dikenali sebagai The Grabber dan Mason Thames sebagai Finn. Dalam kisah kali ini, The Grabber kembali menuntut dendam dari alam kematian dan menghantui adik perempuan Finn iaitu Gwen lakonan hebat oleh Madeleine McGraw.

Rata-rata pengkritik memuji filem ini kerana berjaya mengembangkan dunia Black Phone dengan jalan cerita lebih emosional dan menyeramkan. Filem ini turut menerima penilaian CinemaScore B, yang dianggap cemerlang bagi genre seram.

Selain itu, penonton Latino membentuk hampir 39% daripada jumlah penonton di AS, sekali gus menunjukkan pengaruh besar komuniti tersebut terhadap kejayaan kutipan filem ini. Menurut laporan, Mexico menjadi pasaran antarabangsa terbesar dengan kutipan USD4.3 juta (RM20.3 juta), angka yang luar biasa bagi filem seram.

Dari Filem Kecil ke Fenomena Dunia

Ramai yang tidak mengetahui bahawa filem asal Black Phone (2021) sebelum ini hanya menelan kos rendah tetapi menjadi “sleeper hit” apabila berjaya mengutip lebih USD161 juta (RM758 juta) di seluruh dunia, meskipun ditayangkan ketika pawagam baru mula pulih selepas pandemik COVID-19.

Kali ini, dengan bajet produksi sekitar USD30 juta (RM141 juta), Black Phone 2 dilihat bakal mengulangi kejayaan sama dan mungkin menjadi antara filem seram paling laris tahun ini.