Baru-baru ini, tular di media sosial, seorang pengguna meluahkan rasa kekecewaan di Facebook apabila dia perlu beratur panjang semata-mata untuk mencetak semula tiket bas di kiosk Terminal Bersepadu Selatan (TBS) meskipun sudah dibelinya secara atas talian sebelum menaiki bas. Akibatnya, ramai penumpang terpaksa beratur panjang malah ada yang tertinggal bas kerana menunggu giliran terlalu lama!
Seorang pengguna menulis:
“Beli tiket bas online, sampai TBS kena print. Nak print, kena beratur. Beratur nak print punya lama… sampai tertinggal bas!”
Isu itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna lain yang berkongsi pengalaman sama di terminal berbeza.
Seorang netizen, Hijau Satin, berseloroh:
“Matlamat asal teknologi nak kurangkan kertas pun tak tercapai. Nak print tiket online caj RM2, tapi QR code tak scan pun. Dia tanda pen jugak.”
Manakala seorang lagi, Noraizan Mazlan, menambah:
“Ada extra charges, lepas tu beratur panjang macam beli tiket biasa. Baik beli kat kaunter terus!”
Namun, ada juga yang memberi penjelasan bahawa hal ini bergantung kepada platform tempahan yang digunakan. Seorang pengguna menjelaskan bahawa aplikasi pihak ketiga seperti Easybook atau RedBus memerlukan tiket dicetak semula di kaunter, manakala jika pembelian dibuat terus melalui aplikasi rasmi TBS penumpang boleh terus imbas QR code di pintu masuk tanpa perlu print.
Walaupun teknologi sepatutnya memudahkan urusan harian, isu seperti ini menunjukkan masih ada jurang antara sistem digital dan pelaksanaan sebenar di lapangan. Ramai berharap agar pihak terminal dan syarikat bas dapat menyelaraskan sistem supaya proses perjalanan penumpang menjadi lebih lancar tanpa perlu “beratur demi teknologi”.