INSENTIF GOMEN

Belanjawan 2026: Bantuan Awal Persekolahan Diperluas Demi Pendidikan Inklusif

Baru-baru ni, kerajaan mengumumkan pelajar sekolah akan menerima RM150 Bantuan Awal Persekolahan 2026 (BAP) melibatkan peruntukan keseluruhan RM800 juta di bawah Belanjawan 2026.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mulai tahun hadapan, penyaluran bantuan ini akan dilakukan terus di sekolah disampaikan melalui guru kepada ibu bapa bagi mengeratkan hubungan serta kerjasama antara pihak sekolah dan keluarga demi masa depan pendidikan anak-anak.

Dalam masa sama, kerajaan turut memperluas Bantuan Am Persekolahan (BAPs) kepada murid daripada keluarga miskin sehingga Tingkatan Lima, berbanding hanya hingga Tingkatan Tiga sebelum ini, dengan peruntukan RM180 juta.

Selain itu, Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) turut disediakan dengan peruntukan RM150 juta khusus untuk membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah agar tidak tercicir dalam pelajaran.

Langkah-langkah ini menggambarkan komitmen kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memastikan sistem pendidikan negara terus inklusif, adil dan mudah diakses oleh semua golongan masyarakat.

Bukan itu sahaja, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diteruskan dengan peruntukan RM870 juta, memanfaatkan kira-kira 870,000 murid di seluruh negara bagi memastikan mereka terus mendapat makanan sihat dan berkhasiat setiap hari persekolahan.

Kesemua inisiatif ini memperlihatkan komitmen kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh sistem pendidikan yang inklusif, adil dan menyeluruh, agar tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan ekonomi.

Dengan pelaksanaan bantuan, biasiswa dan program pemakanan ini, jelas kerajaan serius memastikan setiap anak Malaysia mendapat peluang pendidikan yang sama rata kerana masa depan negara bermula dari bilik darjah hari ini.

SUMBER RUJUKAN: “5.2 juta murid terima RM150 Bantuan Awal Persekolahan tahun depan” BERITA RTM