Sony kembali mencuri perhatian peminat permainan video apabila mengumumkan kolaborasi terbaharu bersama HoYoverse untuk menghasilkan Genshin Impact Limited Edition DualSense Wireless Controller.
Edisi istimewa ini hadir dengan rekaan eksklusif berinspirasikan Traveler iaitu Aether dan Lumine, sekali gus menjadikannya antara keluaran paling dinantikan hujung tahun ini.
Rekaan Eksklusif Bertema Traveler, Tampak Premium
Controller edisi terhad ini menampilkan gabungan warna pearl white dengan butang serta komponen accent biru dan emas. Estetiknya cukup halus, memaparkan anting-anting Aether pada bahagian kanan, bunga rambut Lumine pada sisi kiri, serta simbol bintang Traveler yang disulam pada permukaan Touchpad.

Bahagian belakang pula dihiasi logo skrip khas bersama figura Paimon, menjadikan keseluruhan controller tampil sebagai item koleksi yang ‘clean’ dan memikat, sesuai untuk peminat yang menghargai butiran seni dalam permainan Genshin Impact.
Tarikh Pre-Order & Pelancaran Global
Pre-order untuk edisi khas ini bermula 11 Disember melalui PlayStation Direct serta beberapa kedai terpilih. Untuk pasaran Asia, termasuk Jepun, controller ini akan mula dilancarkan 21 Januari 2026, diikuti pelancaran global pada 25 Februari 2026 meliputi Amerika, Eropah, Afrika, Timur Tengah, Australia dan New Zealand.
Walau bagaimanapun, Sony menegaskan bahawa stok adalah sangat terhad. Jadi, peminat digalakkan membuat tempahan awal terutamanya bagi mereka di Malaysia yang dijangka mendapatkan edisi ini melalui pengedar sah ataupun retail terpilih yang membawa masuk produk PlayStation edisi eksklusif.
Fungsi Tetap Sama, Tetapi Nilai Koleksi Tinggi
Dari aspek fungsi, controller ini mengekalkan ciri standard DualSense termasuk haptic feedback, adaptive triggers serta kemampuan multi-pairing sehingga empat peranti.


Dengan kemas kini firmware sebelum ini, pengguna juga boleh menukar sambungan dengan lebih pantas melalui kombinasi butang khusus.
Walaupun tidak membawa penambahbaikan teknikal, nilai eksklusifnya diperkuat dengan status limited edition, menjadikannya item rebutan terutama bagi pengumpul barangan PlayStation dan peminat tegar HoYoverse.
Beriringan Dengan Kemas Kini Versi 6.2
Pelancaran controller ini hadir seiring hype besar kemas kini Genshin Impact Version 6.2, yang memperkenalkan dua Archon Quest baharu serta watak baharu seperti Durin, selain kemunculan semula beberapa karakter popular.
Gabungan kandungan permainan yang segar dan aksesori premium ini jelas memberi lebih alasan kepada peminat untuk kembali terjun ke dunia Teyvat di hujung tahun.
Buat komuniti Genshin, ini sememangnya masa yang tepat untuk menambah koleksi dan untuk PS5, controller ini mungkin jadi yang paling aesthetic setakat ini.












