Ramai orang tertanya-tanya sama ada membaca al-Quran melalui telefon tanpa wuduk dibenarkan atau tidak, terutama bagi mereka yang sering berada dalam keadaan sukar untuk bersuci.
Isu ini sering timbul kerana al-Quran digital tidak sama seperti mushaf fizikal, namun masih menimbulkan persoalan tentang adab dan hukum membacanya tanpa wuduk.
Islam sangat menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Setiap huruf yang dibaca mendapat ganjaran, dan al-Quran juga akan menjadi syafaat buat pembacanya pada hari kiamat.
Perlu Wuduk Untuk Baca?
Ulama bersepakat bahawa membaca al-Quran tanpa wuduk adalah harus, selagi seseorang itu tidak berada dalam keadaan hadas besar seperti junub atau haid.
Namun, membaca al-Quran dengan wuduk adalah lebih afdhal, sebagai tanda penghormatan kepada kalam Allah. Rasulullah SAW sendiri membaca al-Quran dalam pelbagai keadaan, kecuali ketika berjunub.
Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA menyebut:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membacakan kepada kami al-Quran dalam setiap keadaan, melainkan dalam keadaan berjunub
Riwayat al-Tirmizi (146)
Tapi Boleh Ke Sentuh Al-Quran Tanpa Wuduk?
Di sinilah ramai keliru. Menyentuh mushaf fizikal (al-Quran yang sebenar) ketika berhadas tidak dibenarkan menurut majoriti ulama. Namun hukum tersebut tidak terpakai kepada al-Quran digital di telefon pintar.
Telefon Pintar Bukan Mushaf – Ini Penjelasan Ulama
Para ulama termasuk tokoh besar seperti Syeikh Ali Jumaah menjelaskan:
- Paparan ayat al-Quran di skrin bukan tulisan kekal
- Ia hilang apabila skrin ditutup atau ditukar aplikasi
- Ia tidak dikira sebagai mushaf seperti yang didefinisikan dalam kitab-kitab fiqh
JAKIM turut mengesahkan bahawa al-Quran dalam bentuk digital seperti aplikasi telefon, atau CD tidak memerlukan wuduk untuk disentuh.
Kesimpulannya, memnbaca al-Quran guna telefon tanpa wuduk adalah hukumnya HARUS, menyentuh skrin ketika aplikasi al-Quran dibuka adalah DIBENARKAN dan kalau mushaf fizikal, WAJIB berwuduk untuk sentuh.
Walaupun harus tanpa wuduk, sangat digalakkan untuk kita menjaga kebersihan diri, menutup aurat, menghadap kiblat, membaca dengan adab dan penuh rasa hormat.
Sumber: Pejabat Mufti











