Hong Kong digegarkan dengan kebakaran dahsyat di Wang Fuk Court, Tai Po semalam. Puluhan mangsa terkorban, ratusan lagi masih hilang.
Api marak dengan pantas di lapan menara kediaman setinggi 31 tingkat, membabitkan 1,984 unit. Perancah buluh, jaring plastik dan bahan mudah terbakar dipercayai mempercepatkan penyebaran api.

Pasukan bomba bertarung sepanjang malam sehingga menyebabkan seorang anggota bomba dilaporkan terkorban. Kira-kira 900 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, puluhan lagi dirawat di hospital, termasuk beberapa darinya masih dalam keadaan kritikal.
Hong Kong dikenali dengan bandar padat penduduk dengan lebih 7,100 orang/km², kini berdepan risiko bencana bandar cukup serius. Ledakan pembangunan menara kediaman bertingkat tinggi, khususnya di New Territories, termasuk Tai Po, dikatakan antara faktor yang menyukarkan operasi pemadaman.
Pihak polis menahan tiga lelaki dari syarikat pembinaan atas tuduhan cuai sehingga kebakaran merebak di luar kawalan. Bahan foam, buluh dan plastik mudah terbakar ditemui di lokasi. Angin kencang 14 km/jam turut menyukarkan kawalan api.
Punca kebakaran masih disiasat, namun perhatian tertumpu pada bahan mudah terbakar yang dipasang semasa kerja pembinaan dipercayai mempercepatkan penyebaran api
Setakat ini, siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan mencegah insiden sama berulang.












