Insiden membabitkan seorang wanita di TikTok mencetuskan panik dalam kalangan pengguna straw kaca apabila dia berkongsi pengalaman ngeri menelan serpihan kaca tanpa sedar sehingga terpaksa dirawat di unit kecemasan.
Minum Seperti Biasa, Tiba-Tiba Tertelan Kaca
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dari katil hospital, wanita yang dikenali di TikTok sebagai @colorful__chaos menjelaskan dia sedang menikmati minuman seperti biasa apabila merasakan seperti tertelan sesuatu. Selepas memeriksa straw, barulah dia perasan terdapat bahagian yang terkopak.
Menurutnya, ketika itu dia tidak panik kerana tiada rasa sakit atau sebarang tanda serpihan tersangkut di tekak. Namun, kira-kira dua jam kemudian, dia terkejut apabila sendawa dan mendapati ada darah keluar.
Imbasan Dedah Serpihan Kaca Dalam Perut
Sebaik tiba di hospital, imbasan CT mengesahkan bahawa serpihan kaca berkenaan berada di dalam perutnya. Doktor kemudian memberikan bius dan cuba mengeluarkannya melalui prosedur endoskopi.
Namun prosedur itu tidak dapat diteruskan apabila serpihan tersebut telah pun bergerak ke dalam usus. Wanita itu akhirnya dibenarkan pulang dengan pemantauan ketat untuk tanda-tanda pendarahan, sambil menunggu serpihan berkenaan keluar sendiri dalam tempoh beberapa hari.
“Sekarang ada seketul kaca ‘berjalan-jalan’ dalam usus saya,” katanya.
Doktor memaklumkan peluang komplikasi adalah rendah kerana serpihan itu telah melepasi esofagus dan perut tanpa mencederakan organ.
Video Cecah 30 Juta Tontonan, Netizen Terkejut & Terus Buang Straw Kaca
Perkongsian itu segera tular dan meraih lebih 30 juta tontonan dengan lebih 28,000 komen yang kebanyakannya daripada pengguna yang mengaku membuat keputusan spontan untuk menukar semua straw kaca di rumah mereka.
@_colorful__chaos_ SEND THIS to anyone you know who uses glass straws! If youre using them TOSS THEM OUT. Not worth it. #glassstraws #glassstraw #glass #straw #emergency
Antara reaksi yang membanjiri ruangan komen:

“New fear unlocked.”

“Guys, beli straw stainless steel atau silikon je.”

“Saya dah guna straw kaca kira-kira 5 atau 6 tahun. Sekarang juga saya buang semuanya!! Terima kasih atas peringatan ni!! Harap awak melalui situasi ni dengan selamat ❤️”
Ramai yang menyifatkan pengalaman itu sebagai mimpi ngeri yang mengesahkan kebimbangan mereka terhadap straw kaca.
“Tak Akan Guna Straw Kaca Lagi”
Wanita tersebut turut menyatakan bahawa dia akan menghubungi TikTok untuk menurunkan kandungan lama yang pernah mempromosikan straw kaca, demi mengelakkan insiden serupa berlaku kepada orang lain.

Dalam nada tegas, dia mengakhiri videonya dengan amaran:
“Straw kaca tak akan masuk rumah saya lagi. Cukup sekali. Tolong jangan guna straw kaca.”
Insiden itu kini membuka perbincangan baharu di media sosial mengenai keselamatan aksesori mesra alam. Walaupun straw kaca sering dianggap lebih estetik dan ‘eco-friendly’, kisah ini membuat ramai berfikir dua kali sebelum menggunakannya.













