Seorang wanita tampil mempertahankan diri selepas namanya dikaitkan dalam dakwaan panas membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Wanita terbabit, Sofia Rini Buyong, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei, yang mendakwa kononnya beliau menjadi “orang tengah” atau proksi bagi Shamsul Iskandar.
Dalam satu klip video, Sofia menegaskan dakwaan itu palsu, berniat jahat dan merupakan satu konspirasi untuk mencemarkan reputasi kedua-dua tokoh berkenaan.
“Saya ingin membuat kenyataan terhadap dakwaan palsu Albert Tei yang mendakwa kononnya ada arahan daripada saya atau Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk dia membuat rakaman beberapa ahli politik Sabah,” katanya.
Sofia juga menambah bahawa dia tidak pernah berjumpa, berbincang, atau berurusan dengan Anwar mengenai apa-apa dakwaan yang disebut dalam video Albert.
“Saya bukan proksi kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar. Saya juga tidak pernah ada sebarang perbincangan dengan PM atau Datuk Seri Shamsul mengenai tindakan Albert, termasuk proses permohonan lesen-lesen perlombongan,” ujarnya.
Beliau menyifatkan tindakan Albert sebagai usaha jahat yang bertujuan memburukkan nama baik pihak tertentu dengan mencipta naratif tidak berasas.
Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri susulan dakwaan yang dianggap cuba merosakkan imej kerajaan Madani, sementara SPRM turut membuka siasatan terhadap tuduhan pemberian rasuah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei.

Dalam perkembangan sama, Sofia Rini tampil menafikan dakwaan lelaki itu merakam pertemuan lebih sejam itu secara senyap sambil berulang kali memaksa beliau mengesahkan naratif palsu. Beliau turut menegaskan tiada perbincangan atau urusan wang antara dirinya, Shamsul dan Albert seperti didakwa.
Setakat ini, Albert Tei belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berkaitan tuduhan terbaru ini.













