TUMPAT – Mangsa banjir yang mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bakal menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 sebaik pulang ke rumah selepas banjir surut.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata, bantuan itu akan disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dan tiada pemberian tunai dilakukan di PPS.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan mangsa banjir menerima BWI apabila pulang ke rumah. Semua bayaran dibuat melalui akaun BSN, tiada bantuan tunai,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Geting.
Beliau menjelaskan, bantuan RM1,000 bagi setiap keluarga itu bertujuan membantu mangsa membeli keperluan asas apabila kembali ke rumah masing-masing.
Akaun BSN Digunakan, Tapi Bayaran Boleh Masuk Akaun Bank Lain
Menurut Meor Ismail, akaun pembayaran BSN akan menyalurkan BWI ke mana-mana akaun bank mangsa yang berdaftar.
Bagi mangsa yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh menuntut bantuan secara tunai di kaunter BSN terdekat selepas menerima notifikasi.
Mangsa Diminta Berdaftar Walaupun Tidak Tinggal Sepenuhnya di PPS
NADMA turut mengingatkan semua mangsa banjir supaya mendaftar di PPS bagi memastikan kelayakan menerima BWI.
“Daftar dan balik rumah pun tidak mengapa, kerana ada yang perlu bekerja atau menjaga rumah. Yang penting, mereka berdaftar,” katanya.
Mangsa seperti kanak-kanak, warga emas dan OKU pula diminta kekal berada di PPS demi keselamatan mereka.
Lebih 103,000 Anggota Bersedia Menghadapi Banjir
Mengulas pengurusan bencana, beliau berkata keadaan masih terkawal dan tiada keperluan menambah aset atau kekuatan anggota.
Seramai 103,500 anggota daripada pelbagai agensi kini bersedia dan ada yang sudah dikerahkan di lapangan.
“Kita juga mempunyai Skuad Insan MADANI yang diketuai APM dan boleh digerakkan pada bila-bila masa jika diperlukan,” jelasnya.
Sumber: Berita Harian












