Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan bantuan awal RM500 kepada 750 keluarga mangsa banjir yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas EXCO negeri susulan situasi banjir yang semakin memburuk di lima daerah terlibat setakat ini iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Setakat 11.30 pagi, seramai 2,784 mangsa ditempatkan di 21 PPS, termasuk 221 pelajar yang sedang menduduki SPM yang bermula semalam.
Pengangkutan Percuma Untuk Calon SPM
Bagi memastikan peperiksaan tidak terganggu, Pejabat Daerah diarahkan menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke sekolah bagi memudahkan perjalanan calon SPM pergi dan pulang ke pusat peperiksaan.
Yayasan MBI juga akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir supaya mereka boleh meneruskan peperiksaan dalam keadaan selesa.
Kerajaan Negeri Turun Padang, Projek Tebatan Dipercepatkan
Dalam kenyataan sama, Amirudin berkata usaha tebatan banjir di kawasan tumpuan akan dipercepatkan, dan perkara itu akan dipantau oleh EXCO Infrastruktur, Datuk Izham Hashim, pada petang semalam.
Beliau turut menghargai usaha petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti membantu rakyat sepanjang bencana ini, selain mendoakan keselamatan semua mangsa di PPS.
Situasi Banjir Semakin Meruncing
Pada isnin lalu, media melaporkan keadaan banjir di Selangor menunjukkan peningkatan ketara, dengan jumlah mangsa meningkat hampir lima kali ganda dalam tempoh beberapa jam.
Info banjir turut memaklumkan sekurang-kurangnya lapan sungai telah melepasi paras bahaya, termasuk Sungai Langat (Hulu Langat & Jenderam Hilir), Sungai Bernam (Hulu Selangor) dan Sungai Binjai (Meru).












