Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif untuk memastikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lanjacar dengan pelaksanaan Ops Payung, prosedur keselamatan dan mekanisme pengurusan peperiksaan musim bencana telah digerakkan dengan rapi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menegaskan bahawa KPM mempunyai SOP lengkap bagi memastikan keselamatan calon. Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan, hari ini.
“Kita telah pun membuat persediaan secukupnya untuk memastikan pelaksanaan SPM ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan kita sudah membuktikan bahawa kita mampu untuk memastikan anak-anak hadir ke peperiksaan SPM dengan SOP sedia ada.
“Jadi, pihak KPM memang yakin dengan SOP sedia ada, pekeliling yang ada dan Ops Payung yang bakal diaktifkan sekiranya berlaku bencana banjir, maka kita mampu untuk menghadapi situasi ini dan memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar.”
Menurut laporan BERNAMA, antara alternatif di bawah Ops Payung termasuk penyediaan pengangkutan, pemindahan pusat peperiksaan, penempatan sementara mangsa banjir di asrama atau PPS serta pembukaan pusat peperiksaan alternatif.
Setakat pagi ini, 317 calon SPM terjejas banjir melibatkan tujuh negeri: Kelantan (72), Pulau Pinang (6), Kedah (24), Terengganu (2), Perlis (45), Perak (167) dan Selangor (1). Empat pusat peperiksaan alternatif telah dibuka.
Di Perak, 20 calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pangkor dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif susulan kejadian tanah runtuh. Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, menjelaskan bahawa pemindahan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
27,361 Calon SPM di Kelantan, 100 Terjejas Banjir

Di Kelantan, seramai 27,361 calon menduduki SPM membabitkan 247 sekolah, termasuk empat daerah banjir. Menurut laporan Berita Harian, sebanyak 100 calon dikenal pasti terjejas dan telah dipindahkan ke lokasi selamat termasuk asrama sekolah atau pusat peperiksaan alternatif.
Antara kes besar termasuk:
• 56 calon SABK Nurul Huda Kajang Sebidang dipindahkan ke SMKA Falahiah.
• 15 calon SMK Kutan dibawa dengan trak tentera untuk menduduki peperiksaan di sekolah asal.
Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad, berkata demikian selepas menyantuni calon SPM di SMK Sultan Ismail, hari ini. JPN Kelantan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi untuk memastikan kebajikan pelajar terjaga sepanjang musim tengkujuh.
KPM Nafi Isu Kertas Peperiksaan Bocor

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, menolak dakwaan bahawa kertas peperiksaan SPM 2025 bocor selepas beberapa tangkap layar menawarkan “soalan bocor” dijual pada harga RM499.
“Saya tak ada terima laporan secara rasmi lagi tapi kita ada melihat dakwaan itu di media sosial dan ia dalam tindakan pihak kami termasuk oleh Lembaga Peperiksaan, katanya ketika ditemui elepas meninjau hari pertama SPM di SMK Putrajaya Presint 11(1), hari ini.
“Buat masa sekarang kita percaya soalan-soalan SPM masih lagi terkawal dengan baik.”
Beliau juga menjelaskan bahawa Lembaga Peperiksaan mempunyai prosedur khas untuk menangani dakwaan sebegitu dan yakin kawalan keselamatan setakat ini mencukupi.
Fakta Umum SPM 2025
• 413,372 calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
• Melibatkan sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, SABK, MRSM, Maktab Tentera Diraja, sekolah swasta dan calon persendirian.
Sumber: Berita Harian, BERNAMA












