Situasi banjir di beberapa negeri terus menunjukkan perkembangan membimbangkan apabila jumlah mangsa kini meningkat kepada 11,748 orang melibatkan 4,168 keluarga setakat pukul 12.15 tengah hari.
Perkembangan terkini ini dimaklumkan melalui laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kelantan kekal sebagai negeri paling terjejas dengan 8,919 mangsa yang kini ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS). Antara daerah yang terlibat ialah Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh, melibatkan lebih 3,200 keluarga.
Sementara itu, Perak mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi dengan 1,277 orang yang berlindung di 17 PPS merangkumi kawasan Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang. Satu PPS baharu turut dibuka di Hilir Perak berikutan peningkatan paras air.
Negeri Terengganu turut terkesan dengan 285 mangsa di satu PPS di daerah Besut, manakala Kedah mencatatkan 392 mangsa di lima PPS sekitar Kulim dan Kubang Pasu. Beberapa jalan di negeri itu turut dilaporkan dinaiki air akibat hujan berterusan.
Situasi di Perlis juga menunjukkan peningkatan dengan 423 mangsa daripada 152 keluarga ditempatkan di PPS di Padang Besar dan Kangar.
Di Pulau Pinang, jumlah mangsa kini mencecah 322 orang, masing-masing ditempatkan di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Keadaan banjir di Selangor turut meresahkan warga setempat apabila 86 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke lima PPS di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Shah Alam.
Beberapa kawasan seperti Taman Sri Muda dan Kota Kemuning dilaporkan mengalami kesesakan lalu lintas akibat limpahan air.
Sementara itu di Sarawak, jumlah mangsa kekal 44 orang daripada enam keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di daerah Miri.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa pemantauan terhadap cuaca dan paras air sungai sedang giat dijalankan.
Orang ramai terutama di kawasan berisiko dinasihatkan untuk terus berjaga-jaga dan mematuhi arahan keselamatan dari semasa ke semasa.
Bagi Hangat.com, orang ramai perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan utamakan keselamatan, terutama dalam tempoh hujan lebat yang tidak menentu ini.
Semoga semua mangsa banjir diberikan kemudahan dan perlindungan.
Sumber: Berita Harian













