Seramai 130 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajar Malaysia (STPM) Parlimen Sungai Buloh yang mendapat penempatan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima bantuan pengajian sebanyak RM50,750.
Daripada jumlah itu, RM38,500 merupakan sumbangan Bank Rakyat, manakala RM12,250 lagi adalah sumbangan peribadi Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata melalui hantarannya di Facebook, sejak 2024, Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan hampir RM1.2 juta kepada lebih 4,000 penerima di Sungai Buloh merangkumi pelajar, keluarga dan golongan memerlukan pelbagai kaum.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua anak-anak Sungai Buloh atas kejayaan cemerlang ini,” katanya menurut hantaran itu.
Program yang dijalankan bersama Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat sejak 2024 meliputi:
- Insentif pelajar cemerlang SPM 2024 & 2025
- Bantuan sekolah dan persekolahan
- Program Back to School 2024 & 2025
- Program Tuisyen Rakyat
- Bantuan awal pengajian 2024
Ramanan merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat atas kerjasama dalam memperkukuh kesejahteraan penduduk Sungai Buloh melalui inisiatif pendidikan dan kebajikan.













