Sekurang-kurangnya 10 pemilik kenderaan mendakwa mengalami kerosakan enjin selepas mengisi petrol di Stesen PETRONAS Bandar Baru Nilai (BBN), dipercayai akibat pencemaran air dalam bahan api.
Kejadian itu mula tular di media sosial selepas beberapa pengguna memuat naik pengalaman masing-masing, termasuk seorang wanita dikenali sebagai @puutery yang memaklumkan keretanya berhenti secara tiba-tiba tidak lama selepas mengisi minyak penuh di stesen berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan bengkel mendapati terdapat kandungan air yang banyak dalam tangki minyak kenderaannya.
Mangsa Kongsi Bukti Petrol Bertukar Jernih
Beberapa pemilik kenderaan turut berkongsi gambar keadaan petrol yang dikeluarkan daripada tangki mereka, yang menunjukkan lapisan air jelas kelihatan jernih berbanding warna bahan api yang sepatutnya.
Seorang lagi pengguna, @nurul.ain21, memaklumkan keretanya mengalami simptom ‘jerking’ dan beberapa lampu amaran menyala, sebelum mekanik mengesahkan petrol yang diisi bercampur air.
” Semalam isi minyak kat area Petronas BBN Nilai, pagi ni start kereta dia mula jerking and segala warning naik, pomen check cakap petrol bercampur dengan air, pagi ni lalu tengok Petronas BBN tu tutup tengah buat penyelengaraan…hmm tak memasal duit terbang kena servis,” katanya.
Stesen Beroperasi Ditutup Sementara
Hasil semakan mangsa di lokasi mendapati stesen PETRONAS berkenaan telah ditutup sementara dipercayai bagi tujuan pemeriksaan dalaman dan kerja penyelenggaraan.
“Korangg saya dh report dah. memang petronas tu tgh tutup. dah dkt 10 kereta report. saya pun dh repair kereta saya. sekarang tunggu diaorang settle penyelenggaraan n nanti diaorg followup next step. thanks korang semua yg concern!” kata puutery ketika memberi kemas kini terbaharu.
Penutupan itu menimbulkan andaian bahawa pencemaran mungkin berpunca daripada tangki simpanan bawah tanah stesen tersebut.
Faktor Cuaca Tidak Diketepikan
Sebahagian netizen mengaitkan musim hujan sebagai punca kemungkinan kemasukan air ke dalam tangki minyak, terutama jika kawasan sekitar mengalami banjir atau takungan air. Namun setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai punca sebenar kejadian daripada pihak PETRONAS.
Peringatan Kepada Pengguna
Pengguna yang baru mengisi minyak di kawasan berdekatan dan mengalami masalah enjin dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan bengkel serta menyimpan resit pembelian sebagai bukti.
















