Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar industri media tempatan memperkenalkan skim gaji minimum sendiri sebagai langkah untuk menjaga kebajikan pekerja media dan meningkatkan profesion kewartawanan di negara ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima aduan daripada wakil pengamal media di Sabah yang memaklumkan bahawa ada wartawan yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun namun masih menerima gaji kurang RM2,000 sebulan, satu keadaan yang disifatkannya tidak dapat diterima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
“Saya ingat munasabahlah. Media sekarang ini tidak macam dulu, bukan sebab persaingan media sosial itu banyak, tapi saya fikir kalau 10 tahun kerja ‘senior’ dan gaji begitu, susahlah.
“Saya simpati. Saya terkejut, baru dengar kalau betul ada kes mereka sudah berkhidmat 10 tahun dan (gaji) bawah RM2,000, itu bagi saya betul-betul tak boleh diterima,”katanya ketika hadir program minum pagi dan sembang santai bersama pengamal media Sabah semalam.
Dalam sesi berkenaan turut dihadiri lebih 80 pengamal media. Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata sebelum ini kerajaan telah menetapkan syarikat GLC dan GLIC supaya menyediakan gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,100 sebagai isyarat kepada sektor swasta.
“Saya akan lihat ini (gaji minimum media), bukan di Sabah saja, tapi (untuk) semua. Kalau kita tak boleh bagi itu, mungkin kita bantu dari segi insentif tertentu kepada media. Jadi mereka boleh guna untuk tingkatkan gaji dan elaun,”katanya.
Analisa Tambahan Hangat.com
Luahan wartawan Sabah itu turut menggambarkan keluhan lebih luas dalam industri media. Realitinya, situasi gaji rendah bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia kewartawanan. Ramai wartawan muda dan senior di organisasi media lain turut berdepan gaji pokok sekitar RM2,200, yang selepas potongan wajib, jumlah bersihnya jauh lebih rendah daripada kos sara hidup hari ini. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang masa depan profesion kewartawanan jika kebajikan tenaga kerja tidak diberi perhatian sewajarnya.
Kerajaan kini sedang meneliti laporan menyeluruh mengenai isu gaji pengamal media di Sabah melalui Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebelum langkah lanjut diputuskan.
Sumber: Berita Harian












