Ketua jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan bekerja dari rumah (BDR) bagi pegawai yang tinggal dalam radius 25 kilometer (km) dari pejabat, yang terkesan dengan kesesakan aliran trafik bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), keputusan itu dibuat selaras dengan inisiatif Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus cekap dan prihatin terhadap kesejahteraan penjawat awam.
JPA menjelaskan bahawa pegawai yang layak boleh berhubung dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan. Namun, pelaksanaan dasar ini tetap perlu mengikut tatacara dan peraturan semasa.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur, dan dijangka menjadi antara yang terbesar pernah dianjurkan.
Tambah JPA lagi, dasar BDR akan terus dilaksanakan secara fleksibel mengikut keperluan agensi, selaras dengan usaha menyeimbangkan tuntutan kerja serta kesejahteraan pegawai di bawah konsep work-life balance.














