Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 87 kertas siasatan membabitkan kes rasuah di pelbagai kementerian sejak tahun 2022 hingga 26 September lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen baru-baru ini.
Foto Kredit: Parlimen Malaysia
Menurut beliau, jumlah tersebut diperoleh berdasarkan maklumat rasmi SPRM, sebagai menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai kes rasuah melibatkan penjawat awam dalam tempoh tiga tahun lalu mengikut kementerian dan agensi terlibat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Catat Kes Tertinggi
Daripada jumlah keseluruhan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan jumlah kertas siasatan tertinggi dengan 14 kes. Ia diikuti oleh Kementerian Dalam Negeri dengan 11 kertas siasatan dibuka.
Selain itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan masing-masing merekodkan lapan kertas siasatan, manakala Jabatan Perdana Menteri mempunyai tujuh kes dan Kementerian Pertahanan pula dengan enam kes.
Turut tersenarai, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan lima kertas siasatan, diikuti Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pendidikan Tinggi yang masing-masing mempunyai empat kes.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Kementerian Sumber Manusia masing-masing mencatat tiga kertas siasatan.
Tiga lagi kementerian iaitu Kementerian Ekonomi, Kementerian Komunikasi, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, masing-masing merekodkan dua kes.
Manakala beberapa kementerian lain seperti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, masing-masing hanya mempunyai satu kertas siasatan dibuka oleh SPRM.

Lapan Kementerian Bebas Daripada Siasatan Rasuah
Dalam pada itu, terdapat lapan kementerian yang tidak mempunyai sebarang kertas siasatan membabitkan kes rasuah sejak 2022.
Antaranya termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Digital, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pendedahan ini menunjukkan bahawa isu integriti dan ketelusan masih menjadi cabaran besar dalam sektor perkhidmatan awam. Ia sekali gus mengingatkan semua pihak, khususnya penjawat awam, agar terus menjunjung prinsip kejujuran dan akauntabiliti dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat.