Isu penggunaan AI dalam industri permainan kembali menjadi tumpuan apabila seorang pemain mendakwa menerima refund penuh untuk Call of Duty: Black Ops 7 di Steam, meskipun sudah menamatkan kempen permainan itu.
Situasi ini mencetuskan perdebatan baharu tentang ketelusan penggunaan AI serta bagaimana ia mempengaruhi pengalaman permainan.
Pemain Dakwa AI Digunakan Secara Meluas Dalam Black Ops 7
Seorang pengguna di X (Twitter) yang dikenali sebagai Bricky berkongsi pengalaman mereka, mendakwa Black Ops 7 menggunakan generative AI “secara berterusan,” namun elemen itu tidak dipaparkan dengan jelas dalam promosi atau material pemasaran rasmi.
Walaupun telah menghabiskan keseluruhan kempen, pengguna tersebut tetap menghantar permohonan refund kepada Steam dan mengejutkan ramai apabila permohonan itu diluluskan, membolehkan mereka menerima semula bayaran penuh sebanyak USD 69.99 (RM339.00)
Isu AI Dalam Game Semakin Hangat Dibahas
Penggunaan AI dalam pembangunan permainan memang sudah lama menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain dan juga penggiat industri.
Ada yang merasakan AI menjejaskan identiti artistik, malah boleh mengurangkan kualiti pengalaman.
Dalam kes Black Ops 7, pemain turut meluahkan rasa kurang senang terhadap rekaan calling cards, yang ada menyamakan gaya visualnya seperti imej generatif ala AI Grok milik X.
Walaupun menerima kritikan, Activision mengakui mereka memang menggunakan AI antara alat pembangunan permainan.
Adakah Pemain Lain Akan Terima Layanan Sama?
Setakat ini, tidak jelas sama ada Steam akan meluluskan refund atas alasan yang sama untuk pemain lain.
Kebiasaannya, Steam hanya memproses refund untuk permainan yang dimainkan kurang daripada 2 jam, kecuali dalam kes luar biasa seperti pelancaran permainan yang bermasalah teruk. Contohnya, Cyberpunk 2077 ketika hari pertama pelancaran.
Perlu diingat, halaman kedai Steam untuk Black Ops 7 sebenarnya menyatakan penggunaan generative AI dalam penciptaan aset. Maka, tidak semua pemain mungkin menerima layanan yang sama seperti Bricky.
Pemain Masih Tidak Puas Hati Selepas Pelancaran
Sejak pelancarannya, Black Ops 7 menerima reaksi bercampur tetapi kecenderungan jelas menunjukkan ramai yang tidak gembira. Penggunaan AI menjadi salah satu sebab utama, terutama apabila isu sebegini sudah pun timbul dalam Black Ops 6 sebelum ini.
Walaupun sebahagian peminat menganggap teknologi AI mampu mempercepatkan pembangunan, yang lain bimbang ia menjejaskan kreativiti dan polish yang selama ini menjadi identiti francais Call of Duty.
Jika trend ketidakpuasan hati terhadap AI ini berterusan, industri mungkin akan berdepan gelombang tuntutan ketelusan baharu dan bukan sahaja tentang bagaimana game dibangunkan, tetapi sejauh mana AI sepatutnya terlibat dalam pengalaman pemain.

Tangkapan skrin: X
Kredit foto: Steam
Tangkapan skrin:Steam











