KUALA LUMPUR – Lepas penantian panjang, akhirnya projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi pada 31 Disember ini. Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut beliau, LRT3 kini berada dalam fasa akhir ujian dan pentauliahan , termasuk menjalani fault-free run (FFR) bagi memastikan sistem benar-benar stabil sebelum dibuka kepada orang ramai.
“Dalam perkhidmatan rel, ujian terakhir amat penting. Kita tak mahu bila buka nanti berlaku gangguan teknikal,” jelasnya.
Anthony turut memaklumkan bahawa Rapid Rail Sdn Bhd sudah melantik 956 kakitangan merangkumi petugas operasi, teknikal, kejuruteraan dan pasukan sokongan sebagai persediaan menyambut perkhidmatan baharu ini.
Isu Bumbung Bocor di KLIA: ‘Sangat Memalukan’
Dalam masa sama, Anthony turut mengulas mengenai insiden bumbung bocor di Terminal 1 KLIA yang tular baru-baru ini. Menurutnya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terlibat.
“Ia sangat mendukacitakan, memalukan negara dan sukar dimaafkan,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang kerja penyelenggaraan perlu mengikut SOP dan mana-mana pihak yang cuai perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
Tiada Kompromi Untuk Kenderaan Lebih Muatan
Anthony turut mengulangi pendirian keras terhadap isu kenderaan lebih muatan di jalan raya, menyifatkannya sebagai masalah yang sudah “berpuluh tahun diwarisi”.
“Hanya ketegasan dan tekad politik yang kuat dapat melawan isu ini,” katanya.
Dalam persidangan yang sama, Dewan Rakyat meluluskan RM 6,767,918,800 anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi Kementerian Pengangkutan dalam Belanjawan 2026. – Bernama
Bagi Hangat.com, LRT3 ini dapat membantu melancarkan perjalanan harian penduduk Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitarnya sekali gus menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih mudah, cepat dan selesa untuk semua.
Sumber: Sinar Harian














