KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila pendapatan pelaburannya mencapai RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, pencapaian ini hasil daripada pelaksanaan strategi alokasi aset yang berkesan, membolehkan KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran ekuiti selepas peristiwa “Liberation Day”.
“KWSP kekal yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia, yang mewakili 61 peratus daripada portfolio pelaburan kami. Strategi pelaburan global juga menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini,” katanya.
Pendapatan Suku Ketiga Meningkat Ketara
Bagi suku ketiga 2025 sahaja, KWSP mencatat pendapatan RM25.07 bilion, melonjak 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024. Peningkatan ini jelas menunjukkan momentum positif dalam pengurusan pelaburan KWSP.
Daripada jumlah ini:
- Ekuiti kekal penyumbang utama dengan RM16.95 bilion (68%)
- Instrumen pendapatan tetap menyumbang RM6.75 bilion (27%)
- Hartanah dan infrastruktur RM1.14 bilion (4%)
- Instrumen pasaran wang RM230 juta (1%)
- Selain itu, RM20.48 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM4.59 bilion untuk Simpanan Shariah.
KWSP Kekal Berhati-hati Masuki Suku Keempat
Walaupun prestasi menggalakkan, KWSP menekankan kewaspadaan memasuki suku keempat, kerana penilaian pasaran ekuiti global yang tinggi dan ketidakstabilan ekonomi antarabangsa boleh menjejaskan kadar pulangan.
Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP meningkat 12 peratus kepada RM1.37 trilion, dengan pelaburan antarabangsa merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset dan menyumbang RM13.33 bilion (53%) daripada pendapatan pelaburan suku ketiga.
Bagi Hangat.com, KWSP menunjukkan prestasi kukuh sepanjang sembilan bulan pertama 2025. Ia bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur, malah memberi jaminan kepada ahli KWSP bahawa simpanan mereka diuruskan secara profesional dan berkesan.
Sumber: Astro Awani














