Musim sejuk yang mula melanda Semenanjung Gaza kini menjadikan keadaan rakyat Palestin semakin parah.
Hujan lebat, suhu sejuk dan tiada tempat berteduh membuatkan ratusan ribu penduduk terus bergelut untuk meneruskan hidup.
Lebih menyedihkan, Israel dilaporkan terus menyekat kemasukan khemah dan barangan perlindungan, sekaligus memburukkan lagi keadaan mereka yang sudah kehilangan rumah akibat perang berpanjangan.
UNRWA beri amaran: musim sejuk boleh jadi bencana
Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa musim sejuk kali ini boleh membawa kesan buruk kepada hampir dua juta penduduk Gaza.
Tanpa tempat perlindungan kukuh, mereka berisiko menghadapi:
• penyakit berjangkit
• banjir kilat
• cuaca melampau
• hipotermia
Ribut yang dijangka tiba dalam beberapa hari lagi menambah ketakutan buat penduduk tempatan yang kini hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Rumah musnah, tinggal khemah plastik
Selepas dua tahun serangan ketenteraan, lebih 198,000 struktur musnah di Gaza, menurut data PBB.
Kini majoriti keluarga hanya tinggal di bawah khemah plastik yang langsung tidak mampu menahan angin kuat, hujan lebat dan suhu sejuk.
Banjir dan kebocoran menjadi perkara biasa, sekaligus mengancam keselamatan serta kesihatan mereka.
Ramai penduduk pula telah dipindahkan berulang kali, berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain tanpa arah tuju, dan kini berdepan:
• kekurangan makanan
• risiko penyakit
• kesejukan melampau
• tiada perlindungan asas
Bantuan tersekat, keadaan semakin genting
Walaupun rayuan antarabangsa semakin kuat, Israel terus menyekat penghantaran barangan perlindungan atas alasan keselamatan.
Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna, menyifatkan ribut yang bakal tiba sebagai “berpotensi membawa kesan bencana” buat penduduk Gaza.
Kerajaan Palestin turut memberi amaran tentang risiko banjir kilat, ribut petir dan angin kencang yang dijangka melanda kawasan rendah di Gaza dan Tebing Barat dalam masa terdekat.
Sumber: Berita Harian














