Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM200,000 khas untuk pengamal media berdaftar di bawah Kelab Media Johor (KMJ) melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) dalam Belanjawan Johor 2026. Di bawah bantuan ini, setiap pengamal media akan menerima RM1,000, yang akan disalurkan melalui dua fasa pembayaran iaitu pada Disember dan Februari 2026.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Inisiatif ke-21 adalah di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang akan disalurkan kepada pengamal media yang mana setiap seorang bakal menerima RM1,000 dengan peruntukan mencecah RM200,000.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
“Sebanyak 67 inisiatif akan dilaksanakan di bawah teras ketiga menerusi belanjawan ini iaitu teras jaringan keselamatan sosial. Inisiatif ke-21 adalah BKJ pengamal media yang mana setiap seorang bakal menerima RM1,000 dengan peruntukan mencecah RM200,000.”
Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak, dalam kenyataannya menghargai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan beretika. Beliau menegaskan bahawa insentif ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada pengamal media, malah melambangkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan komuniti media. KMJ juga menyatakan bahawa Johor adalah negeri pertama yang menyediakan peruntukan khusus untuk pengamal media dalam belanjawan tahunan negeri.












