Kerajaan Negeri Johor umum peruntukan RM1.4 juta melalui Belanjawan Johor 2026 bagi menyediakan bantuan tiket penerbangan kepada mahasiswa anak Johor yang menuntut di IPT di Sabah dan Sarawak. Selain itu, kerajaan negeri turut menawarkan perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa IPTA anak Johor di Semenanjung pada musim perayaan utama untuk meringankan beban kos perjalanan pulang ke kampung.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan bahawa bantuan ini merupakan tanda kasih dan keprihatinan kerajaan terhadap mahasiswa yang menuntut jauh dari keluarga.
“Teras yang keenam atau terakhir dalam Belanjawan Johor 2026 ialah Orang Muda Johor yang mana sebanyak 55 inisiatif akan dilaksanakan. Inisiatif ke-11 adalah bantuan tiket penerbangan bagi mahasiswa IPTA di Sabah dan Sarawak serta bas percuma bagi mahasiswa IPTA di Semenanjung sempena musim perayaan dengan peruntukan RM 1.4 juta.” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026, pada 13 November lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
Menurut beliau, langkah ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi muda Johor yang berilmu, berwawasan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri, selain memastikan tiada anak Johor tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.













