Judul Baharu Yang Meneruskan Dunia “Edge of Eternity”
3goo secara rasmi mengesahkan bahawa permainan aksi RPG baharu, Edge of Memories, akan hadir ke PlayStation 5 pada musim bunga 2026. Judul ini dibangunkan oleh Midgar Studio dari Perancis, dan merupakan kesinambungan kepada dunia Edge of Eternity yang dikeluarkan pada tahun 2021.
Permainan ini kembali membawa pemain ke Helion, namun kali ini dengan visual yang lebih moden melalui penggunaan Unreal Engine 5, disertakan gaya seni bernuansa animasi Perancis yang memberi sentuhan dramatik dan emosional.
Pertarungan Masa Nyata Dengan Kemampuan “Berserk”
Edge of Memories menampilkan sistem pertempuran real-time, menjadikan aksi terasa lebih hidup dan responsif. Pemain mengawal watak utama, Erin, seorang pengembara yang mempunyai kebolehan luar biasa.
Sepanjang perjalanan, pemain boleh:
- Menggabungkan serangan kombo dengan rakan sepasukan,
- Memanfaatkan kepelbagaian kuasa Erin,
- Dan mengaktifkan “Berserk Mode” iaitu kuasa batin Erin yang membuka serangan yang lebih agresif dan penuh impak.
Gaya permainan ini mengekalkan jiwa JRPG klasik, tetapi dengan tempo yang lebih moden dan bertenaga.
Disokong Oleh Nama Besar Dalam Dunia RPG
Projek ini turut disertai beberapa creator berprofil tinggi yang tidak asing dalam genre RPG.
Reka bentuk watak dikendalikan oleh Raita Kazama, yang pernah terlibat dalam Xenoblade Chronicles X. Jalan ceritanya pula ditulis oleh Sawako Natori, salah seorang penulis karya dalam siri NieR.
Bahagian muzik juga disertai oleh Yasunori Mitsuda (Chrono Trigger, Xenogears) bersama Mariam Abounnasr (Xenoblade Chronicles 3) mengetuai susunan lagu, manakala vokal permainan disumbangkan oleh Emi Evans, yang sinonim dengan identiti muzik francais NieR.
PlayStation 5 “Edge of Memories” Trailer
Dunia Avarice, Keruntuhan dan Konflik Dalaman
Treler cerita yang dilepaskan memperlihatkan perjalanan Erin di Avarice, sebuah benua yang kini rosak akibat fenomena dikenali sebagai “Corrosion”. Sepanjang kisah ini, Erin bukan sahaja berdepan pihak lawan di medan pertempuran, tetapi juga sisi gelap dirinya yang disebut sebagai “Black Beast Mode.”
Konflik dalaman, hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan, serta misteri dunia yang semakin musnah, semuanya bakal menjadi tulang belakang naratif.

Kredit foto: 4gamer












