
Sumber:Blogspot
Kalau sebut Ulik Mayang, mesti ramai terbayang lagu tradisional yang lembut dan penuh misteri. Tapi tahu tak, di sebalik tarian ni tersimpan kisah lama berunsur mistik yang cukup menarik dari negeri Terengganu?
Bermula Dari Ritual Penyembuhan Laut
Ulik Mayang bukan sekadar tarian hiburan. Asalnya, ia adalah upacara penyembuhan tradisional yang diamalkan oleh nelayan pantai timur, khususnya di Kuala Terengganu.
Dahulu, bila ada nelayan jatuh sakit selepas pulang dari laut, dipercayai diganggu semangat laut maka bidan atau bomoh akan menjalankan ritual memuja semangat mayang untuk memulihkan pesakit.
“Mayang” di sini bermaksud mayang pinang, iaitu jambak bunga jantan pokok pinang yang digunakan dalam ritual tersebut.
Legenda Puteri Laut Tujuh Beradik
Menurut kisah lama, sekumpulan nelayan keluar ke laut untuk mencari rezeki. Namun, perjalanan mereka bertukar tragedi apabila perahu dipukul ombak besar hingga hanyut ke pantai.
Setibanya di darat, semua nelayan tersedar kecuali seorang yang masih tidak sedarkan diri. Pada mulanya, mereka menyangka rakannya telah meninggal dunia, tetapi setelah diperiksa, dia masih bernafas.
Bagi menyelamatkannya, mereka memanggil seorang bomoh tradisional. Hasil “bacaan” bomoh itu mendapati lelaki tersebut bukan pengsan biasa, dia dipercayai disampuk oleh *Semangat Laut* dari alam bunian.
Ketika upacara rawatan dijalankan, bomoh itu dikatakan berdepan dengan enam puteri bunian yang cuba menghalang usahanya. Pertarungan ghaib itu berlarutan sehingga muncul Puteri Tujuh, puteri sulung yang memiliki kuasa tertinggi.
Bomoh itu kemudian merayu agar Puteri Tujuh melepaskan semangat nelayan berkenaan. Akhirnya, Puteri Tujuh bersetuju, dan sebagai tanda penghormatan, bomoh tersebut mempersembahkan nasi kuning kepada para puteri. Selepas ritual berakhir, lelaki itu tersedar dan pulih seperti sedia kala.
Daripada kisah inilah muncul bait-bait lagu yang kita kenal hari ini:
“Ulik mayang ku ulik,
Ulik dengan jala jemala,
Ku tahu asal usulmu…”
Lirik ini menggambarkan dialog antara manusia dan makhluk ghaib dalam usaha memujuk semangat laut supaya berdamai.
Dari Ritual Ke Persembahan Seni
Walaupun unsur asalnya bersifat ritual dan spiritual, tarian Ulik Mayang kini telah diubah suai menjadi persembahan kebudayaan yang menggambarkan keindahan seni tradisi Melayu.
Gerak tariannya lembut, diiringi muzik gamelan dan irama mendayu simbol keharmonian antara manusia dan alam.
Kostum penari pula biasanya berwarna putih atau lembut, menggambarkan kesucian dan dunia spiritual laut.
Ulik Mayang terus menjadi lambang identiti seni warisan Terengganu. Walaupun unsur mistiknya semakin dikurangkan, nilai seni dan mesejnya tentang keseimbangan antara manusia dan alam masih dikekalkan.
Ia bukan sekadar tarian tapi cerminan spiritual dan keindahan budaya Melayu yang tak lapuk dek zaman.
SUMBER RUJUKAN: PROJEK TRAVEL













