Mulai 1 Januari depan, kerajaan akan memperkenalkan kaedah baharu pembayaran saman trafik bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang jalan raya lebih adil dan konsisten di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kredit foto: Wikipedia
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa struktur kompaun saman kini akan diseragamkan dan prinsip baharu “The Less You Delay, The Less You Pay” akan diguna pakai bersesuaian dengan lebih cepat anda bayar, lebih rendah kadar kompaun.
Diskaun Hingga 50% Jika Bayar Awal
Menurutnya, mereka yang menjelaskan saman dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas notis akan menikmati diskaun 50%, manakala bayaran dalam 16 hingga 30 hari mendapat diskaun 33%. Namun, jika bayaran dibuat antara 31 hingga 60 hari, kadar kompaun akan dikenakan maksimum. Selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan diambil.
Beliau turut menegaskan bahawa insentif ini tidak terpakai untuk kesalahan serius seperti memandu tanpa insurans, tiada lesen, atau menggunakan LKM palsu. Kesalahan sebegitu mesti dibawa ke mahkamah tanpa kompromi.
Diskaun Khas Sementara Hingga 30 Disember Ini
Menariknya, sebelum sistem baharu dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan menawarkan kompaun khas mulai 1 November hingga 30 Disember ini dengan pengurangan 50 hingga 70% bagi saman boleh dikompaun yang dikeluarkan JPJ dan PDRM.
Anthony turut menggesa semua pengguna jalan raya agar menjelaskan saman mereka sebelum 30 disember menerusi portal MySikap, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM, atau di kios JPJ dan kaunter pembayaran PDRM.



Langkah ini dilihat sebagai insentif kerajaan untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, sambil memastikan penguatkuasaan undang-undang trafik berjalan dengan lebih adil, telus, dan konsisten.
Sumber: Berita Harian














