Aplikasi, Berita

LAZADA Buka Peluang Kepada Para Pelajar Pembikinan FIlem Memenangi “PROJ. ADD TO LIFE”

Perintis platform e-dagang Asia Tenggara, Lazada, akan merealisasikan pembikinan filem pendek yang dicipta oleh pelajar-pelajar filem berbakat besar di rantau Asia Tenggara melalui pesta filem Proj. Add to Life yang telah mula menerima penyertaan konsep mulai 22 Jun.

Pelajar pembikinan filem dari enam negara di Asia Tenggara di mana terletaknya pangkalan Lazada berpeluang untuk mentafsirkan maksud frasa ‘Add to Life’ (Tambah ke Hidup) dengan mengemukakan idea dan konsep tersendiri untuk memenangi pembiayaan bagi filem pendek mereka. Pesta filem pendek ini akan mempamerkan perspektif unik pembikin filem generasi muda yang berasal dari Asia Tenggara kepada khalayak serantau yang berasal dari pelbagai warisan budaya.

“Di Lazada, kami percaya bahawa pengguna hari ini bukan saja membeli produk untuk kegunaan harian. Pernyataan jenama kami, ‘Add to Cart. Add to Life.’ yang dilancarkan setahun lalu menekankan kepercayaan kami untuk menginspirasikan hubungan bermakna serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi konsumer dengan setiap pembelian mereka. Pesta filem Proj. Add to Life ini merupakan suatu peluang yang baik untuk pengguna muda, pembikin filem, dan ahli kreatif untuk berkongsi idea dan kreativiti mereka dalam mengupas erti ‘Add to Life’. Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pengarah terkemuka Malaysia yang telah banyak memenangi anugerah, Maurice Noone dan Sling Ng dalam menghidupkan cerita-cerita ini,” kata Irene Cheah, Ketua Pegawai Pemasaran, Lazada Malaysia.

Bukan sahaja menilai filem pendek yang telah siap, penyertaan bagi Proj. Add to Life akan dinilai daripada fasa konsep sehingga tayangan. Penyertaan paling cemerlang akan dipilih dari setiap enam negara di mana para peserta yang terpilih akan diberi peluang keemasan untuk menghidupkan visi mereka di skrin besar.

Pemenang Proj. Add to Life berpeluang memenangi hingga USD50,000 (kira-kira RM230,000) untuk pembiayaan penghasilan filem, serta peluang untuk merealisasikan visi mereka dengan sokongan pemimpin industri dan pengarah terkenal. Lazada akan menayangkan keenam-enam filem pendek Proj. Add to Life yang dipilih di pesta filem yang akan dianjurkan di enam negara di Asia Tenggara supaya hasil kreativiti setiap pembikin filem dapat dipamerkan dan dinikmati di seluruh rantau.

Proj. Add to Life terbuka kepada semua pelajar yang menghadiri universiti dan kolej di Malaysia, tanpa mengira bidang kursus. Mereka yang berminat perlu mengemukakan sinopsis ringkas dan contoh skrip tidak melebihi lima minit untuk filem pendek mereka. Gambaran keseluruhan tentang pendekatan teknik perfileman dan anggaran bajet produksi juga perlu disertakan.

Para pemenang akan memulakan penerbitan pada bulan Ogos dan filem akan ditayangkan pada 29 September 2023. Para pelajar boleh menghantarkan penyertaan “Proj. Add to Life” mereka ke addtolife@care.lazada.com.

Penyertaan boleh disertakan dalam bentuk PDF, Microsoft Powerpoint, Apple Keynote, Google Slides, atau mana-mana format digital lain yang paling sesuai dengan visi mereka. Tarikh tutup penyertaan ialah 15 Julai 2023 dan pemenang akan diumumkan pada bulan Ogos.

Penyerahan akan dinilai oleh panel yang terdiri daripada tokoh-tokoh Lazada, ahli kreatif, pengarah filem terkenal dan pemimpin industri, termasuk Ketua Bahagian Jenama Lazada Malaysia, Liew Mun Tip, dan Ketua Kreatif Lazada Malaysia, Joseph Lee. Turut menyertai barisan panel ini ialah pengarah filem Think Tank, Maurice Noone dan Sling Ng.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keperluan penyerahan, sila layari lzd.co/myaddtolife.

Tags