Gear

BMW Malaysia Persembahkan Dua Varian Model BMW 7 Series, Dipasang Di Dalam Negara

MW Malaysia hari ini telah merungkaikan dua ahli baharu dalam famili jentera BMW 7 Series – BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu, hadir dengan rangkaian pemacu bermuatkan pelbagai teknologi serba inovatif, dirumus untuk menjamin pengalaman pemanduan rendah karbon tanpa mengkompromikan prestasinya.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan,

“Portfolio BMW 7 Series kami tampil dengan kenderaan-kenderaan baharu yang melambangkan kemewahan, prestij, serta aneka teknologi di aras yang tertinggi. Susulan perungkaian BMW i7, iaitu sedan elektrik tulen kami yang sulung dalam kelas ini, kami membawakan BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu – dua varian luar biasa yang membuktikan komitmen kami dalam membangunkan kenderaan berelektrik berprestasi tinggi di Malaysia buat para pelanggan setia kami.”

The New BMW 750e xDrive M Sport
The New BMW 750e xDrive M Sport
The New BMW 750e xDrive M Sport
The New BMW 750e xDrive M Sport

“BMW 750e xDrive M Sport baharu mengetengahkan pelbagai elemen rekaan baharu yang serba sporty, sementara varian Pure Excellence lebih memfokuskan aspek kemewahan – terhad kepada 48 unit sahaja di Malaysia – namun kedua-duanya masih memaksimumkan unsur-unsur keelegenan, keselesaan, dan juga kemudahan. Kami yakin bahawa varian-varian ini akan menambah seri susur-susur jalan raya di Malaysia, merealisasikan janji Sheer Driving Pleasure kami di aras yang tertinggi dalam segmen ultra mewah.”

BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence menampilkan iras lampu hadapan yang baharu dengan rekaan terbahaginya, diperkayakan dengan lampu hadapan BMW Iconic Glow berunsur kristal, serta gril ‘kidney’ dengan ciri iluminasi BMW Iconic Glow yang menyerlahkan bahasa rekaan kelas mewah yang baharu. Varian-varian ini juga akan hadir dengan teknologi BMW eDrive generasi terkini bagi model-model PHEV, disinambungkan dengan sistem pacuan semua roda serba pintar BMW xDrive untuk kuasa maksimum.

Unsur Elektrik dan Kemewahan dalam BMW 7 Series Terbaharu.

BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu hadir dengan perwatakan yang hampir sama dari segi kuasa dan prestasi, dibezakan dengan beberapa elemen eksterior dan juga interior. Kedua-dua varian baharu ini didatangkan bersama pencahayaan waktu siang yang dinaik taraf dengan lampu hadapan BMW Iconic Glow berunsur kristal – yang bilamana diterangi, menyerlahkan pantulan cahaya ambien pelbagai segi serta kilauan yang dizahirkan oleh elemen kristal Swarovski. Pencahayaan kontur memberikan komponen gril ‘kidney’ BMW Iconic Glow sebuah iras yang menawan, dengan elemen-elemen LED yang mampu mencuri perhatian pada waktu malam dan juga siang. Unit-unit pencahayaan LED tersebut merupakan sebahagian daripada “Great Entrance Moments”, sebuah pertunjukan cahaya serba istimewa yang mengalu-alukan penumpang dengan karpet cahaya serta pengaktifan pencahayaan interior.

Seksyen hadapan yang tinggi dan menegak juga menampilkan plat nombor di kedudukan yang sedikit lebih rendah, berserta peningkatan dimensi dari semua sudut – seperti BMW i7. Para pemilik juga dapat menikmati kemudahan pintu automatik yang membolehkan pengguna membuka dan menutup semua pintu secara automatik sama ada melalui kunci kenderaan, Paparan Kawalan, dengan arahan suara atau terus melalui pintu itu sendiri.

Permukaan ekstensif BMW 7 Series baharu ini juga dirapikan dengan dua garisan jitu yang menyusuri kedua-dua sisi kenderaan berkenaan, menzahirkan aura dinamisme. Jarak roda (wheelbase) yang dilanjutkan juga meningkatkan ruang interior dan keselesaan buat para penumpang. Shadow Line M berglos tinggi dan ambang sisi M hitam berglos tinggi yang eksklusif turut memperkayakan penampilan varian M Sport, termasuk komponen apron M yang terletak di hadapan dan belakang. Juga eksklusif untuk BMW 750e xDrive M Sport baharu ialah set roda aerodinamik M 20 inci, dwiwarna dalam penggayaan 907, manakala BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu dilengkapi dengan set roda aloi dwiruji sport 19 inci dalam penggayaan 903.

Di seksyen belakang, jentera-jentera BMW 7 Series baharu ini membawakan lampu belakang signatur BMW yang berbentuk L dengan rekaan “puris”, sementara garisan yang melintangi bahagian belakang menonjolkan lagi kelebaran jentera ini. Nozel pembersih untuk kamera mengundur juga telah diintegrasikan ke dalam logo BMW agar ia tampak lebih kemas. Bukan itu sahaja, para pemilik juga dapat menikmati ruang but berkeluasan setinggi 575 liter dalam BMW 7 Series baharu.

BMW 7 Series baharu dikuasakan oleh enjin hibrid ‘plug-in’ enam silinder sebaris dengan teknologi BMW TwinPower Turbo, dipasangkan bersama motor elektrik dengan kapasiti bateri berjumlah 22.1 kWj, yang diintegrasikan dengan transmisi Steptronic 8 kelajuan. Kuasa yang dijana oleh kedua-dua unit pacuan disalurkan ke jalan raya melalui sistem pacuan semua roda serba pintar, BMW xDrive. BMW 7 Series baharu merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j, membekalkan 489 kk (360 kW) dan tork bernilai 700 Nm, ia mampu membuat pecutan abad hanya dalam 4.8 saat.

BMW 750e xDrive Pure Excellence
BMW 750e xDrive Pure Excellence
BMW 750e xDrive Pure Excellence

 

Fungsi-fungsi bantuan memandu yang eksklusif untuk BMW 750e xDrive M Sport baharu ialah Driving Assistant Plus, manakala BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu membawakan Driving Assistant Professional. Rangkuman standard yang lain bagi kedua-dua varian termasuk Parking Assistant Plus, BMW Live Cockpit Professional dengan Papar Pandu (Head-Up Display), serta penyaman udara automatik empat zon. Ciri-ciri keselamatan standard pula meliputi ABS, Kawalan Stabiliti Dinamik, pemantau tayar pancit serta bantuan pembrekan.

Penawaran warna eksterior bagi BMW 7 Series terbaharu meliputi Oxide Grey Metallic, Black Sapphire Metallic serta Mineral White Metallic. Eksklusif untuk BMW 750e xDrive M Sport baharu ialah opsyen warna M Brooklyn Grey Metallic, manakala Sophisto Grey Metallic pula ditawarkan secara eksklusif untuk BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu. Upholsteri disediakan sama ada dalam material kulit BMW ‘Merino’ berwarna hitam atau kulit BMW ‘Merino’ dalam warna Tartufo untuk kedua-dua varian BMW 7 Series terbaharu.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan pelan pembiayaan “Straight Line” yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 7,480.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh tujuh tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Pemilik jentera BMW 750e xDrive Pure Excellence dan BMW 750e xDrive M Sport baharu juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

    • Waranti Tanpa Had Perbatuan 5 Tahun berserta Program Servis Berjadual Percuma oleh BMW
    • Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan oleh BMW
    • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – Kad Keistimewaan BMW
    • Servis Dalam Talian BMW

Harga runcit bagi BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu dan anggaran harga bagi BMW 750e xDrive M Sport baharu – kedua-duanya didatangkan dengan Pakej Servis dan Waranti Lanjutan 5 Tahun, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) – ialah:

  • BMW 750e xDrive Pure Excellence Baharu- RM 649,800.00
  • BMW 750e xDrive M Sport Baharu- RM 700,000.00

Para pelanggan boleh menghubungi wakil pengedar BMW bertauliah pilihan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai varian-varian BMW 7 Series terbaharu atau layari laman BMW Configurator untuk mengkonfigurasikan BMW 7 Series impian mereka. Maklumat lanjut mengenai BMW 7 Series terbaharu juga boleh didapati di SINI.

Tags